Thursday 31 October 2024

PERTANDINGAN MENULIS ESEI BAHASA MELAYU ANJURAN BERSAMA KPKM & DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

 

Sempena bulan kemerdekaan negara yang lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menganjurkan satu pertandingan dengan kerjasama daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu menulis esei dalam bahasa melayu yang bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh kakitangan dalam kementerian, jabatan dan agensi di bawah KPKM.

Aku tergerak untuk menyertai pertandingan ini. Tujuan penyertaan ini adalah untuk mengasah semula pemikiran selain mahu melibatkan diri dalam penulisan. Sebenarnya, terakhir kali menulis artikel adalah kira-kira dah hampir 10 tahun ditinggalkan. Dulu, aku sering menyumbangkan artikel di Majalah Transformasi Pertanian, keluaran LPP yang akan diterbitkan setiap bulan. Namun, kemudiannya, penerbitan majalah berkenaan tidak lagi dkeluarkan hingga kini. Bila dah lama ditinggalkan, banyak kosa kata serta struktur ayat yang dah berkarat. Aku kagum melihat penulisan-penulisan di media sosial khususnya di Facebook yang mengupas tentang sesuatu isu. Bukan pada isunya, sebaliknya melihat akan tertib dan ayat yang tersusun selain penggunaan bahasa yang tepat serta kosa kata yang kaya dengan makna dan indah.

Berbalik kepada pertandingan di atas, sejujurnya aku tidak menaruh sebarang harapan untuk muncul sebagai pemenang. Hal ini kerana, aku sedar penyertaan dalam pertandingan peringkat kementerian adalah secara terbuka bukan sahaja LPP bahkan pasti akan disertai oleh seluruh jabatan dan agensi dalam kementerian. Tentunya bukan mudah. Aku pula hanya inginkan pengalaman memandangkan ianya turut bakal diadili oleh DBP. Oleh kerana DBP menjadi penganjur bersama, dengan penyertaan ini ianya akan dapat menguji sejauhmana tahap penulisan yang bakal dinilai oleh badan yang profesional tentangnya. Disamping itu juga, melalui penyertaan ini sekurang-kurangnya akan dapat sijil penyertaan.

Namun, rezeki tidak pernah salah alamat. Baru-baru ini, keputusan pertandingan telah dikeluarkan. Betapa terkejutnya aku kerana telah dipilih sebagai salah seorang daripada pemenang kepada pertandingan kali ini. Syukur alhamdulillah. Walaupun, sekadar mendapat tempat ke-6, dengan hadiah saguhati namun ianya cukup bermakna buat aku secara peribadi. Keputusan pertandingan menulis esei ini dimenangi  seperti berikut;

        tempat pertama         : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        tempat kedua            : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        tempat ketiga            : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        3 PEMENANG SAGUHATI

        tempat keempat        : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda

                                          (MADA)

        tempat kelima           : Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)

        tempat keenam         : Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)




Tahniah kepada semua pemenang! Semua pemenang akan mendapat hadiah berupa wang tunai beserta sijil penyertaan. Menerusi kemenangan ini, ianya secara tidak langsung akan menyuntik semangat untuk aku terus memperbaiki penulisan terutama dari segi gaya bahasa, kreativiti, teknik penulisan dan sebagainya pada masa depan. Jika ada lagi kesempatan, ruang dan peluang pada masa akan datang, Insya Allah aku akan sertai lagi. Bukan untuk mengejar hadiah yang ditawarkan menjadi keutamaan, sebaliknya ingin menimba pengalaman serta memenuhi hasrat dan minat dalam bidang penulisan yang ingin terus diterokai.

Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini, bertemu lagi pada entri yang akan datang insya Allah.

Wallahu’alam.

2 comments:

  1. Tahniah! Ada juga terselit nama saudara sebagai pemenang walaupun menang saguhati.

    ReplyDelete
  2. Tahniah tuan atas kejayaan tersebut...nampaknya kemahiran menulis masih berbisa dan ampuh lagi tu

    ReplyDelete