Tuesday, 6 August 2019

Persediaan dan cabaran menghadapi sesi temuduga pegawai di sektor awam


Mendapat sesuatu pekerjaan merupakan saat yang paling menggembirakan buat mereka yang masih lagi sehingga kini bergelut untuk mendapatkan pekerjaan. Apatah lagi jawatan yang dijawat itu pula adalah setaraf dengan kelulusan yang dimiliki oleh calon. Kebiasaannya kita dapati bahawa rakan-rakan kita yang sudah mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka membuatkan seolah-olah mudahnya mereka dapat pekerjaan itu. Mengapa aku tidak? Di sini aku ingin kongsikan sedikit mengenai persediaan dan juga cabaran bagi menghadapi sesi temuduga khususnya di sektor awam.

Cabaran menjawat jawatan pegawai di sektor awam

Tidak dinafikan, untuk seseorang itu mendapat pekerjaan sangat sengit pada zaman kini memandangkan jumlah permohonan dan calon layak adalah terlalu banyak sedangkan peluang tempat adalah terhad. Bagi mereka yang berminat untuk memasuki sektor awam lagi lah semakin ketat dan juga sengit. Hari ini kaedah pemilihan seseorang calon untuk menjawat jawatan pegawai di sektor awam semakin sukar. Pemilihan semakin ketat memandangkan perkhidmatan awam hari ini memerlukan mereka yang 'cemerlang' dan terbaik dikalangan yang terbaik. Antara cabaran lain bagi calon-calon untuk menjawat jawatan pegawai adalah seperti berikut;


  1. Calon cemerlang terlalu ramai (dari segi kelulusan akademik, pencapaian, pengalaman dsbnya)
  2. Tempat di sektor awam adalah terhad
  3. calon perlu melalui beberapa fasa pemilihan/saringan sebelum menjawat jawatan Pegawai di sektor awam
  4. Soalan-soalan yang dikemukakan panel temuduga bersifat global & 'creative and critical thinking'
*Pegawai yang dimaksudkan di sini adalah jawatan di gred 41 dan ke atas.

Calon cemerlang terlalu ramai dan tempat adalah terhad


- seperti sedia maklum bahawa dunia hari ini terlalu ramai calon yang layak dari segi akademik, pengalaman dan pencapaian. Justeru, calon perlu bersaing untuk merebut jawatan yang disediakan. Misalnya, sesebuah jabatan diperingkat daerah akan ditempatkan seorang pegawai bergred 41 untuk memimpin di daerah berkenaan. Contoh; Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah xx.

Fasa pemilihan / saringan 

- Pemilihan untuk melantik pegawai kerajaan dipelbagai jabatan dan agensi perlu melalui berberapa fasa saringan sebelum seseorang untuk ditawarkan surat lantikan. Programme Assessment Centre (PAC). Kepada yang pernah lalui PAC tentunya tahu. Berikut beberapa fasa saringan yang perlu dilalui seseorang calon iaitu; (a) Saringan kelayakan akademik, (b) peperiksaan online, (c) ujian kecergasan, kumpulan perbincangan, public speaking (d) ujian psikometrik (e) sesi temuduga. 

Untuk melepasi setiap satunya, yang dah berpengalaman tahu lah macam mana peritnya. Kepada yang pertama kali, ini antaranya yang perlu dilalui oleh seseorang calon.

Soalan panel temuduga bersifat global, creative & critical thinking

Bila korang berjaya melepasi semua fasa itu, maka akan sampai ke peringkat temuduga. Pada sesi temuduga ini lah akan peringkat akhir bagi menguji calon-calon sama ada berjaya atau tidak. Dan part ni lah pada sesiapa yang bila keluar result kalau tidak berjaya pasti frust menonggeng! Sebabnya tinggal satu step je lagi. Tetapi, bila sampai peringkat temuduga bukannya mudah untuk dilepasi. Soalan-soalan yang dikemukakan juga sangat tough. Antara soalan yang ditanya adalah bersifat global, penyelesaian masalah dan juga critical & creative thinking selain general knowledge untuk menilai penguasaan serta sejauh mana persediaan calon itu. Contoh soalan yang pernah ditanya bagi mengisi jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB);


  1. Apakah bidang tugas PPM S41?
  2. Sebutkan nama penuh YDPA
  3. Berikan contoh negara-negara luar yang berjaya yang boleh dijadikan contoh sebagai model membangunkan luar bandar untuk diaplikasi di Malaysia?
  4. Apakah inisiatif atau idea atau cadangan kamu untuk memastikan penembusan jalur lebar dapat ditembusi ke kawasan pedalaman memandangkan syarikat-syarikat telco pon enggan memasang pencawang di kawasan pedalaman kerana kos sangat tinggi?
  5. IR 4.0 , isu perang dagang antara Amerika-China, kesan pubG kepada masyarakat, 
  6. Bagaimana mahu menarik minat masyarakat luar bandar untuk datang ke program kementerian tanpa perlu menjadikan selebriti sebagai tarikan?
  7. Bagaimana kamu boleh cadang untuk selesaikan masalah masyarakat orang asli yang paginya masuk islam, petangnya keluar agama? bagaimana nak pastikan mereka kekal dalam islam?
Itu antara sedikit soalan-soalan yang pernah ditanyakan kepada calon-calon temuduga untuk menjawab dengan penuh hikmah.

Kesimpulannya, calon-calon yang berminat untuk menyertai sektor perkhidmatan awam, perlu bersedia dari segi pengetahuan yang luas, mengasah kemahiran berbahasa inggeris memandangkan kerajaan hari ini memerlukan para pegawai yang mahir berbahasa inggeris. Semoga korang berjaya! 


Saturday, 3 November 2018

Salam buat semua

Assalamualaikum wbt buat semua bloggers dan juga pembaca..

Dah lama aku x update blog aku nih..sampai password pn dah lupa. Busy sangat sekarang nih sampai xpunya masa nak update. Insya Allah, jika ada masa terluang aku akan tulis lagi.. Keep in touch ya. bye

Thursday, 13 October 2016

Majlis konvokesyen aku

Assalamualaikum wbt,

Dan akhirnya, alhamdulillah aku ber'konvokesyen' pada 25 Oktober 2016 nanti dalam bulan ni setelah menamatkan pengajian akhir tahun lepas. Syukur, akhirnya setelah penat lelah memerah keringat, tenaga, masa dan wang berbaloi.

Pada tarikh keramat itu nanti aku akan dianugerahkan ijazah sarjana muda. Walaupun sebenarnya ramai rakan-rakan yang sebaya dengan aku dah lama dh genggam ijazah diorang tapi aku tetap bersyukur walaupun lewat tapi ada jugak ijazah akhirnya. Aku tabik dengan rakan-rakan aku yang mana diorang lepas je abis buat degree, terus apply untuk program master. Dan sekarang ni diorg tengah dalam alam pengajian untuk proses mendapatkan master. Aku tabik jugak pada kawan-kawan sekolah aku dulu yang diorg kini dah ada master dan ada dikalangan kami sekarang dalam usaha mendapatkan phD di luar negara. Korang memang cintakan ilmu dan sanggup berkorban masa, tenaga dan segalanya untuk mengejar cita-cita masing-masing. Tahniah korang.

Setiap diantara kita sebenarnya ada cita-cita dan hala tuju masing-masing sejak dari kecil lagi. Bahkan sudah ditentukan sejak azali lagi apa yang akan terjadi pada masa depan. Memburu ilmu, menjadikan budaya orang berilmu sebagai sebahagian daripada kehidupan adalah amalan terpuji. Banyak negara-negara maju adalah diasaskan daripada masyarakat dan rakyatnya yang berilmu. Aku nak pesan dekat diri aku dan korang semua, kita kena rajin menimba ilmu dan jadikan budaya membaca sebagai amalan. Bangsa membaca, bangsa berjaya.

Apapun, insya Allah....aku nk konvo!


Monday, 6 June 2016

Ambang ramadhan, menyambut hari ulang tahun kelahiran & kesyukuran

Assalamualaikum wbt dan ramadhan kareem!

Semalam tanggal 05 Jun 2016, memeta sejarahnya yang tersendiri apabila kami sanak saudara yang terdiri daripada keluarga mak, maksu, pakcik, pakngah berkumpul di rumah wan untuk menyambut ramadhan yang penuh kemuliaan secara bersama sekaligus memercikkan suasana ukhuwah sesama saudara di rumah wan.

Biasanya kalau di sebelah selatan, sambutan ramadhan lebih dikenali sebagai 'mantai' dimana seluruh sanak saudara akan membuat persiapan memasak, menyiapkan makanan dan secara tidak langsung akan mengeratkan tali silatulrahim. Di sebelah utara pula, perkataan 'mantai' tidak disebut namun ianya terpulang kepada keluarga sama ada untuk menyambutnya atau tidak. Bagi kami, tahun ini kami meraikannya. Kami merasakan budaya yang baik boleh saja diamalkan dan dibudayakan. Tidak ada salahnya. Aktiviti semalam lebih kepada masak memasak daging kambing masak dalca, ikan keli masak sambal, ayam goreng kunyit, sambal belacan, sayur campur dan air oren. Sambutan ini diadakan juga adalah untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah kerana kesihatan wan semakin pulih serta bersyukur masih diberi Allah swt kesempatan untuk bertemu lagi dengan ramadhan pada tahun ini.

Dalam kesibukkan menyiapkan makanan dan juga masa senggang bersama pakcik dan maksu, rumah wan terus menerus menerima kunjungan daripada tetamu yang hadir untuk menziarahi wan di rumah. Melayan tetamu yang jauh dan dekat dari tengahari hinggalah ke lewat senja. Malamnya, keluarga kami turut menyambut ulang tahun kelahiran mak. Walaupun ulang tahun kelahiran berkenaan akan tiba 2 hari lagi, namun sengaja diawalkan kerana mengambil kesempatan semua sanak saudara telah berkumpul. Selamat ulang tahun kelahiran mak! moga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt hendaknya.

Jam 9.00 malam, kami semuanya mula berangkat pulang ke rumah masing-masing sebab hari ini kerja bermula. 1 ramadhan telahpun bermula dan mudah-mudahan di bulan yang penuh dengan barakah ini akan turut melimpahi kepada kita. Marilah kita merebut peluang keemasan ini untuk menggandakan pahala dan saham akhirat kita hendaknya. Semoga ibadah kita diterima oleh Allah swt, insya Allah.

Wednesday, 1 June 2016

Kenduri Aqiqah, Tahlil arwah & kesyukuran serta menyambut ramadhan

Assalamualaikum dan selamat petang!

Syukur kehadrat Allah swt kerana segala perancangan untuk melangsung majlis kenduri aqiqah, tahlil dan kesyukuran serta menyambut ramadhan telah selasai diadakan pada 29 Mei 2016 di kediaman keluarga kami, Selama Perak. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar walaupun pada awal paginya hujan turun dan mendung turut sikit sebanyak mencemaskan perasaan kami sekeluarga namun akhirnya cuaca kembali cerah dan menyebabkan kehadiran tetamu ke majlis ini adalah sepertimana yang dirancang.

Bermula dari hari sabtu lagi, kesibukkan bermula apabila kaum keluarga yang sampai ke rumah untuk membuat persiapan majlis. Pagi sabtu, sembelihan arnab dimulakan. Sebanyak 20 ekor telah disembelih dengan pisau sembelihan yangdi'order' khas dari kota belud sabah. Dah sembelih kena lapah dan kerja-kerja proses seterusnya telah memakan masa hingga ke jam 3 petang apabila ianya bermula pada jam 11 pagi. Mujurlah Pakngah aku sampai, boleh bantu untuk percepatkan proses arnab. Jam 4 petang pula, aku bergegas bersama pakcik ke tempat sembelihan kambing untuk tujuan aqiqah pula di Selama, Kedah. Alhamdulillah proses disana berjalan lancar. Besar jugak kambingnya dan cukup umur. Kambing seberat 34 kilogram dengan harga RM 24/kg.

Ucapan terima kasih dipanjangkan juga kepada semua yang membantu dalam menjayakan majlis ringkas ini. Mudah-mudahan semuanya akan mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah s.w.t. Wallahu allam.

Monday, 23 May 2016

Kemudahan di Hospital perlu diperhatian dan keutamaan

Wan telah terlantar di hospital Taiping masuk hari ke 4. Selama itu jugalah kami berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menjenguk wan. Insiden wan terjatuh di kawasan dapur ketika mahu mengambil air sembahyang maghrib, telah menyebabkan berlaku komplikasi yang lain termasuk minor strok dan kini alhamdulillah, wan telah menunjukkan prestasi positif ke arah pemulihan. Walaupun percakapannya masih kabur dan kurang jelas lagi. Kami penuh yakin dan percaya serta berdoa agar kesihatan wan bertambah baik dari hari ke hari dan pulih seperti sedia kala. Bergilir-gilir anak cucu menjaga wan siang dan malam di hospital.

Sepanjang tempoh di sana, saya sempat melihat keadaan sekeliling dan pesakit-pesakit lain yang terlantar sakit dan ini telah menginsafkan saya. Dalam situasi itu juga ramai saudara mara yangtelah menziarahi wan di sini sambil melahirkan rasa simpati. Sayajuga sempat melihat kemudahan-kemudahan di hospital yang memerlukan perhatian dan keutamaan kerajaan untuk membantu warganegara ini dalam mendapatkan rawatan.

Kemudahan di ward dan hospital baru

Antara perhatiannya ialah kesesakan katil dan pesakit di hospital yang memerlukan keutamaan kerajaan dalam menambah peruntukkan dan kepentingan dalam mengutamakan kebajikan pesakit dan tidak berlaku kesesakan sepertimana sekarang.  Antara perkara yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat dan kerajaan adalah dengan menimbangkan untuk membina lebih banyak hospital-hospital kerajaan di kawasan berkepadatan tinggi. Sebagai contoh, di Larut, Matang & Selama ini serta daerah Kerian terdapat 2 buah hospital iaitu hospital Selama dan hospital di Parit Buntar. Sekiranya kes-kes kritikal yang memerlukan ianya dirujuk, makan hospital Taiping adalah tempat yang akan dirujuk pesakit ke sana. Jarak antara selama ke Taiping kira-kira 48km sementara Parit Buntar ke Taiping pula lebih kurang jarak yang sama. Saya syorkan supaya satu hospital baru dibina di Bagan Serai untuk menampung jumlah pesakit di hospital Taiping  serta menambah jumlah atau menempatkan doktor-doktor pakar di hospital Selama dan Parit Buntar dan juga fasiliti-fasiliti lain yang boleh dilakukan dihospital berkenaan tanpa perlu dirujuk ke hospital taiping bagi kes-kes kritikal. Kecuali kes-kes tertentu sahaja dirujuk ke Taiping. Berdasarkan keadaan ini, dijangka kesesakan hospital taiping dapat di kurangkan selain pesakit mendapat kemudahan selesa serta mendapat rawatan yang sama di hospital-hospital besar yang lain.

Satu lagi contoh dan keperluan untuk mewujudkan sebuah hospital baru adalah di Serdang Kedah. Ianya terletak dalam daerah Kulim dan Bandar Baru. Buat masa ini, hospital Kulim sahaja yang ada dan terpaksa menampung jumlah pesakit di sana. Ianya meliputi penduduk daerah berkenaan termasu, daerah berdekatan. Sepatutnya, memandangkan kawasan kulim merupakan kawasan industri teknologi tinggi perlu dikhaskan dalam radius yang munasabah untuk menerima pesakit dan kajian dari semasa ke semasa perlu dilakukan untuk mewujudkan hospital baru. Saya cadangkan di serdang iaitu sebuah pekan kecil ditengah-tengah jalan antara pekan bandar bahari dan kulim. Kesesuaiannya dan amat penting untuk menampung jumlah pesakit serta mengurang faktor jarak antara kedua-dua bandar berkenaan sekiranya berlaku kecemasan untuk pesakit menerima rawatan. Saya berpendapat adalah wajar untuk setiap ahli politik (wakil rakyat) kawasan memikirkan soal kebajikan seumpama ini daripada mengisahkan soal politik dalaman parti masing-masing yang tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Saya juga mendapat maklumat kesesakan dalam ward ini juga berlaku dikebanyakkan hospital keranan kekurangan ruang serta jumlah pesakit yang tinggi. Oleh itu, permasalahan ini perlu ditangani segera oleh pihak kerajaan supaya kebajikan rakyat terus terbela. Kita cukup sedar bahawa bidang kesihatan amat penting bahkan sama pentingnya dalam bidang pendidikan. Kepentingan rakyat dan wakil rakyat menyampaikan dan menyuarakan permasalahan yang membelenggu ini kepada pengetahuan kerajaan sangat penting. Tambahan pula memandangkan kemasukan warga asing ke negara ini sama ada secara sah atau tidak boleh mengundang malapetaka besar dari segi kesihatan. Mereka berkemungkinan pembawa penyakit yang boleh merebak ke negara ini seperti virus zika, taun, batuk kering dan sebagainya yang boleh menjejaskan tahap kesihatan warganegara Malaysia. 

Sekali lagi saya berharap agar perhatian dan keutamaan oleh kerajaan dalam mengkaji dan seterusnya membina lebih banyak hospital baru di kawasan berkepadatan tinggi penduduk serta menaiktaraf hospital sedia ada dengan pelbagai kemudahan supaya pesakit selesa mendapatkan rawatan serta mengurangkan kesesakan berlaku sepertimana keadaan sekarang. Wallahu alam.


Monday, 16 May 2016

Sekolah pembentuk sahsiah pelajar

Tidak dapat digambarkan semula tentang bertapa bahagianya dan sungguh seronoknya ketika mengimbau kenangan zaman persekolahan. Lebih-lebih lagi ketika zaman persekolahan diperingkat rendah. Nostalgia sekali apabila sempat membelek-belek gambar-gambar lama yang terakam dan tersimpan dalam album. Barangkali tidak semua dapat gambarkan sebenar-benarnya keadaan dan suasana ketika itu walau sedalam mana penghayatan seseorang yang lain apabila diceritakan saat-saat itu kembali. Hanya yang melaluinya sahaja dapat mengetahui.

Sekolah sememangnya perlu memainkan peranan asalnya iaitu membentuk sahsiah pelajar. Bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga perlu hebat dalam sahsiah dan kepimpinan diri pelajar. Sebagai usaha membentuk sahsiah pelajar bagi melahirkan insan berguna kepada nusa, latihan dan pendedahan secara tidak formal juga harus diterapkan dalam sistem pendidikan negara ini dan tidak semata-mata berorientasikan kepada sistem yang jumud semata-mata. Sebagai contoh, bagi subjek bahasa inggeris, tidak hanya tertumpu di dalam kelas semata-mata. Tetapi kreativiti untuk mendorong pelajar-pelajar untuk bercakap dalam bahasa inggeris walaupun pada mulanya inggeris 'rojak' namun inilah permulaan kepada membina keyakinan pelajar-pelajar untuk menguasai bahasa asing berkenaan. Apabila mereka tidak ditertawakan dan berani bercakap bahasa inggeris dalam pertuturan, barulah diajar mengenai grammar dan sebagainya. Pada aku ini mungkin jauh lebih berkesan berbanding daripada mengikut sukatan demi sukatan sepertimana sekarang. 

Oleh kerana sekolah rendah merupakan tempat pertama dan awal kanak-kanak memasuki alam persekolahan, seharusnya mereka diberi kebebasan dalam mencorakkan pendekatan mereka untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Guru-guru di sekolah rendah seharusnya diberi autonomi luas untuk membentuk kanak-kanak ini dalam mempersiapkan mereka berjiwa kuat dalam mengharungi dan memasuki alam remaja diperingkat menengah. Sebab itu pada pendapat aku, peringkat rendah perlu dirombak dari aspek pendekatan dan kaedah pengajaran kepada murid-murid supaya sahsiah diri pelajar benar-benarutuh dan kukuh. Wallahu alam.