Sunday 24 September 2023

40 HADIS PELESTARIAN ALAM SEKITAR

 Salam buat semua,

Kali ini aku just nak berkongsi dengan korang semua berkaitan sebuah buku dalam koleksi aku iaitu "40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar edisi kedua" hasil karya daripada 2 tokoh ilmuan terkenal iaitu Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang dan Prof. Dato' Dr. Zulkifli bin Mohd Yusoff yang merupakan profesor pengajian islam, Universiti Malaya. 

Pada aku, intipati buku ini sangat menarik untuk dikupas dan ditekuni oleh semua kita terutama masyarakat yang beragama islam berkaitan pelestarian alam sekitar. Islam amat mementingkan tentang penjagaan alam ini. Di dalam buku ini turut disusun 40 hadis nabi Muhammad s.a.w tentang alam sekitar. Kupasan menarik antara lain memasukkan titah DYMM Sultan Perak ketika majlis perasmian buku ini. Selain itu juga, buku ini turut menghubungkan antara hadis nabi dan juga perkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar daripada pakar kedua-dua bidang iaitu bidang agama dan juga alam sekitar yang mengaitkan ilmu sains.


Disamping itu juga, di dalam buku ini turut dimasukkan grafik dan juga info-info berkaitan pencemaran dan juga jadual serta jadual supaya pembaca lebih memahami maksud yang ingin diutarakan oleh para penulis. Aku membeli buku ini bukan sahaja untuk dibaca dan difahami seorang diri, malah aku turut membacakan pada setiap kali selepas solat maghrib kepada anak dan isteri untuk sama-sama memperoleh manfaat. Dengan membaca dan memperdengarkan hadis-hadis nabi seumpama ini kepada keluarga, mudah-mudahan ianya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, anak aku masih kecil yang berusia 8 tahun sekurang-kurang dapat menerangkan dan mendidik dia untuk sayang dan dapat menjaga alam sekitar ini sebaiknya yang bermula dari rumah.

Selain itu, buku ini merupakan terbitan edisi kedua dan terdapat beberapa penambahbaikan berbanding terbitan yang pertama dulu. Sehingga ke hari ini, aku telah baca hadis yang ke 27. Secara umumnya, ianya baik dan selain dapat mengingatkan kembali peringatan dan pesanan nabi s.a.w kepada kita selaku umatnya khusus berkaitan alam ini. Disamping itu juga, buku ini sesuai untuk disyarahkan dalam pelbagai majlis ilmu sama ada di madrasah, masjid, surau dan dewan-dewan kuliah agar segenap lapisan masyarakat memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap alam ini.

Tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua tokoh ini atas usaha murni mereka dalam menjayakan penghasilan buku yang penuh bermanfaat terkait dengan hadis-hadis berkaitan pelestarian alam sekitar. Moga usaha murni ini akan terus dikembangkan dan disahut oleh ramai lagi tokoh ilmuan lain kepada penghasilan buku-buku ilmiah seumpama ini pada masa depan.

Wallahua'lam. 

2 comments:

  1. Replies
    1. sangat disarankan... kupasan dan susunan daripada mereka yang pakar dalam bidang dengan mengaitkan tentang alam sekitar..

      Delete