Saturday, 11 January 2025

CENDAWAN PEHA AYAM @ KULAT TAHUN

 


tempat korang panggil cendawan ni nama apa?


Siapa pernah makan cendawan ni? haa tentu ada yang pernah makan kan.. tapi berapa ramai yang membawa entri ini yang pernah jumpa cendawan peha ayam atau kulat tahun ini? Sebenarnya, nama cendawan ini mungkin berbeza namanya mengikut tempat. Ada yang kenalinya dengan cendawan peha ayam, kulat tahun atau ada juga yang memanggilnya dengan cendawan butang. Walau apapun namanya, hakikatnya itulah cendawannya. Ianya dikatakan muncul hanya setahun sekali dan mereka yang menjumpainya sangat bertuah kerana bukan selalu ada sepertimana cendawan-cendawan lain seperti kulat sisir/kukur atau cendawan tiram kelabu yang bukan sahaja mudah didapati bahkan boleh diusahakan secara komersial tetapi tidak untuk cendawan peha ayam.

Sehingga kini, para penyelidik tidak dapat menemukan biji benih atau sporanya yang boleh dikutip untuk dijadikan benih untuk tujuan tanaman secara komersial. Berdasarkan kepada cendawan ini juga, pelbagai cerita berkaitannya termasuk pantang larang yang diceritakan oleh orang terdahulu mengenainya. Antaranya, mengikut kepercayaan orang terdahulu jika menjumpai cendawan ini, orang itu dikatakan orang yang bertuah dan berhati suci. Hal ini kerana bukan semua orang direzekikan boleh menjumpainya. Selain itu juga, bagi orang yang menjumpai cendawan ini dilarang untuk memberitahu kepada sesiapa pun di mana lokasi yang dijumpainya. Sekiranya orang yang menjumpai memberitahu orang lain, dikatakan dia tidak akan lagi menjumpai cendawan itu selamanya. Disamping itu juga, cendawan ini tidak boleh dijual sebaliknya jika dapat banyak bolehlah disedekahkan kepada orang lain. Dikatakan jika menjual, seolah-oleh ianya menjual anak sendiri dan juga tidak akan menjumpainya lagi.






Demikianlah cerita-cerita dan pantang-larang orang-orang tua terdahulu. Mungkin ada lagi, tapi tidaklah diketahui oleh aku. Berbalik kepada cendawan peha ayam ni, aku terjumpanya hari pertama tahun baru 2025. Memutih je. Memang teruja semasa jumpa tu. Penat mengutipnya yang banyak tumbuh keluar dari tanah. Keterujaan itu pula disumbang dengan dah lama tak jumpa. Seiingat aku, pernah jumpa masa sekolah menengah dulu dan kini kembali menemuinya. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Menu masakan cendawan ini pula biasanya boleh digoreng kunyit, sup cendawan dan ada juga yang buat masak kurma. Memang sedap! Jika anda yang membaca ini ada masakan lain yang dibuat, bolehlah share untuk dicuba dilain waktu.  Sekian sahaja perkongsian kali ini, berjumpa lagi dientri akan datang ya.

Wallahu’alam.

SUNDANG WARISAN PUSAKA BANGSA


Sundang yang dipamerkan



Sundang tergolong dalam keluarga keris yang digunakan oleh bangsa melayu di Nusantara sejak berabad lamanya. Sundang mempunyai bentuk seakan keris namun ianya lebih panjang dan merupakan simbol kepada orang melayu itu sendiri yang membawa maknanya yang tersendiri. Dalam bahasa mudah, sundang merupakan pedang bagi orang melayu. Alat ini digunakan di sekitar kepulauan Sulu, selatan Filipina, Semenanjung tanah melayu dan juga Indonesia. Selain daripada digunakan sebagai alat persenjataan bagi mempertahankan diri, sundang juga bertindak sebagai simbol seseorang dalam masyarakat. Misalnya laksamana, ulama, pemerintah atau juga ketua sesuatu komuniti. 



Tulang mawas yang digunakan untuk penghasilan sundang



Baru-baru ini, berkesempatan untuk melawat pameran sundang di Muzium Taiping yang telah berlangsung selama 6 bulan hingga 31 Disember 2024. Di sana dipamerkan lebih 200 bilah sundang yang didedahkan kepada masyarakat umum tentang kesenian, persenjataan, perlambangan dan kepentingan sundang yang digunakan suatu masa dahulu untuk dikenali dan mendapat info selain mampu membantu masyarakat ini untuk lebih mendekati warisan bangsa. 4 jenis sundang yang digunakan bagi menentukan seseorang dalam lapisan masyarakat. Sundang Waad Darjat digunakan oleh Sultan dan juga kerabat di istana, Waad Laksamana pula digunakan oleh pahlawan bagi menentang dan menghapuskan musuh, Waad Ulama pula akan dikurniakan kepada ulama dan agamawan dan Waad Adat pula akan digunakan oleh orang biasa yang mengetuai sesebuah komuniti. Misalnya ketua kampung dan sebagainya. Apa yang menarik tentang sundang ini adalah bukan sahaja ciri dan bentuknya tentang senjata semata-mata tetapi juga disebalik itu juga terpancar akan kesenian, kebudayaan dan juga bagaimana masyarakat melayu terdahulu telah menerokai tentang teknologi dalam penghasilan senjata seperti keris dan sundang menerusi tempaan besi yang digunakan. 



Pameran seumpama ini merupakan satu inisiatif yang baik dilakukan oleh pihak Jabatan Muzium Perak, Taiping. Menerusi pameran ini telah berjaya menarik ramai pengunjung dari pelbagai bangsa, lokasi, negeri dan peringkat umur untuk melihat sendiri sundang. Bagi aku, pendedahan bukan sahaja pada anak aku tapi juga pada aku tentang senjata warisan bangsa ini. Diharapkan agar pameran-pameran seumpama ini akan dapat dibuat lagi pada masa depan untuk tujuan pendedahan dan pendidikan kepada umum tentang tinggalan silam. 

Wallahu’alam.