Saturday, 10 July 2021

HASRAT UNTUK MENYAMBUNG PENGAJIAN KE PERINGKAT MASTER

 Salam semua,

Minat dan hasrat untuk sambung belajar lagi mula datang sejak kebelakangan ni. Kali terakhir aku tinggalkan universiti tahun 2016. Masa tu aku buat ijazah sarjana muda di UPM. Lepas tu memang ada niat untuk further study ke peringkat master tapi yela..macam sebahagian yang lain niat sekadar tinggal niat sahaja. Tapi kali ni, aku sekali lagi terfikir untuk menyambung pengajian diperingkat master.

Jika diikutkan, masa peringkat diploma dulu aku ambil jurusan kejuruteraan. Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di politeknik. Kemudiannya, ambil ijazah sarjana muda pula dalam bidang yang berlainan daripada engineering. Aku ambil course Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di UPM. Alhamdulillah, selepas tamat pengajian hingga sekarang aku belum sambung ke mana-mana institusi pengajian tinggi lagi. 

Aku pernah terfikir jika aku direzekikan lagi untuk sambung belajar, insya Allah aku nak ambil course yang boleh 'generate' duit pada aku menerusi certificate yang aku ada. Misalnya dalam bidang Occupational and Health ke untuk pursue aku punya cita-cita untuk buka firma sendiri suatu hari nanti yang mana firma tu merupakan firma consultantcy dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan sebagainya. Aku cuba buat carian dan semakan di universiti tempatan, course tu memang ada tapi yurannya mahal. Maybe aku tak mampu.😆 

Kebetulan, satu malam tu aku sembang-sembang dengan adik aku yang baru tamat pengajian dia diperingkat ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi. Dia share cerita dan pengalamannya semasa menjalani latihan industri sangat menarik. Lantas, ianya terus membuka pintu hati ini untuk melihat ke dalam bidang psikologi sebagai bidang pilihan untuk further nanti. Jadi aku mula buat carian dan semakan dan mengetahui secara asas bidang psikologi yang sesuai untuk buat master kalau bersesuaian. Belek punya belek, aku terjumpa satu course ni, Ijazah Sarjana Muda Industrial Organizational Pskilogi yang ditawarkan di UKM. Ianya turut menawarkan secara mode separuh masa. Dari segi kos pula, reasonable untuk ditanggung. 

Aku rasa bidang dan course tu sesuai untuk aku further study diperingkat master nanti insya Allah jika berpeluang nanti. Sekarang masih diperingkat menimbang-nimbang lagi untuk further atau tak. Kalau jadi, plan nya tu nak sambung mungkin tahun depan, Insya Allah. So, guys doakan aku ya!

Friday, 9 July 2021

PILIHAN JURUSAN LEPASAN SPM: ADAKAH BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

 PENDAHULUAN

Kira-kira dua bulan yang lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan dan keputusannya telah diketahui seluruh negara bagi para pelajar yang telah menduduki peperiksaan berkenaan tahun 2020 yang terpaksa menduduki peperiksaan SPM pada awal tahun ini. Tahniah diucapkan kepada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang. Sementara kepada mereka yang kurang cemerlang, tidak mengapa.. Jangan mudah berputus asa. 

Sudah tentu keputusan yang diumumkan itu bukan sahaja diraikan oleh mereka yang mendapat keputusan berkenaan, bahkan turut dikongsi rasa bersama-sama dengan orang yang tersayang seperti keluarga dan sahabat handai.

Seperti biasa, selepas keputusan diumumkan maka para pelajar akan mula sibuk untuk membuat permohonan untuk memasuki institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta. Permohonan pula adalah semuanya berdasarkan kepada keputusan yang diperoleh diperingkat SPM. Namun, kepada yang kurang baik keputusannya, sudah tentulah peluang untuk mendapatkan tempat diperingkat tinggi agak tipis tambahan pula jika bidang yang dipilih pula merupakan bidang atau jurusan yang popular serta menetapkan syarat-syarat khusus untuk mengikuti pengajian berkenaan. Sebagai contohnya, bidang-bidang seperti kejuruteraan, akauntan, IT, perniagaan, pentadbiran, Farmasi, Pendidikan dan sebagainya. 

BIDANG PERTANIAN KURANG POPULAR?

Jika dibuat sampel secara rawak terhadap pelajar lepasan SPM, adakah mereka akan memohon jurusan atau pengajian dalam bidang pertanian diperingkat IPT, sudah pasti jumlahnya adalah sedikit berbanding bidang-bidang lain bukan? Malah saya pasti bahawa para pelajar lepasan SPM menganggap bahawa bidang pertanian tidak senada dengan jiwa muda mereka. Mereka membayangkan bahawa bidang pertanian membawa suatun konotasi negatif apabila merasakan bidang pertanian perlu bergelumang dengan selut dan bernas terik di bawah pancaran matahari serta miskin.

Hal ini diburukkan lagi apabila stigma masyarakat yang tidak mendedahkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan dan prospek bidang pertanian sejak dari awal lagi. Sebaliknya, masyarakat lebih memberi konotasi negatif seperti yang dinyatakan di atas tadi. Sebagai contoh, kita akan selalu terdengar kata-kata orang yang lebih tua daripada kita atau rakan sekampung yang tinggal di kampung apabila kita bertanya khabar sesekali apabila jarang pulang ke kampung dengan soalan "apa khabar, kerja apa sekarang?" mereka biasanya akan menjawab dengan nada yang agak merendahkan kerjaya mereka seperti "macamni laa kami kerja kampung saja.." atau "alah, kerja di kebun saja".

Malah bagi ibu bapa kita juga akan berikan contoh-contoh kepada anak-anaknya untuk tekun belajar dengan ungkapan "kalau kamu malas belajar, nanti bila kamu besar kamu pegang batang cangkul saja laa". Bahkan, jika memberi contoh kepada mereka yang malas belajar nanti tiada masa depan, duduk kampung tanam jagung akhirnya meresap ke dalam minda anak-anak ini yang akhirnya menjauhi bidang pertanian dan menyangka mereka yang menceburi ke dalam bidang pertanian merupaka individu yang gagal, miskin dan tiada masa depan. Sebenarnya, bidang pertanian adalah sangat luas dan tanggapan mereka menceburi bidang pertanian dengan mengambil jurusan atau bidang pertanian semasa di universiti akan menjadi 'Petani' atau 'Peladang' sebagai tanggapan yang kurang tepat dan cetek.

SEJAUHMANA BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

Jika kita amati dan sanggup berfikir sejenak dengan akal fikiran kita bahawa sejak zaman sebelum merdeka sehingga kini, bidang pertanian merupakan bidang yang sentiasa relevan sepanjang zaman! Manusia tanpa makanan akan mati kebuluran. Ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda, sektor agromakanan dilihat sangat penting kepada sesebuah negara untuk memastikan kecukupan makanan kepada penduduk dikala tindakan kerajaan di serata dunia mengumumkan 'lockdown'. Kalau kita lihat negara kita misalnya, semasa pengumuman PKP 1.0 tahun lalu sehingga kini, walaupun kebanyakan sektor terpaksa ditutup namun, sektor pertanian dan agromakanan terus diberi keutamaan untuk beroperasi sebagai 'essential service'. Selain itu juga, kita dapati kebanyakkan bidang dan sektor terjejas dengan sangat teruk akibat dampak covid ini seperti sektor pelancongan, sektor peruncitan, sektor-sektor seperti PKS, kilang-kilang, dan sebagainya malah ramai yang dibuang kerja namun, kita dapati bidang yang tidak terjejas akibat covid ini adalah PERTANIAN! harga kelapa sawit mencanak naik sejak penghujung tahun lalu sehingga ke bulan Jun dan masih kekal bertahan. Pengeluaran sayuran, buahan, ternakan, ternak-air, unggas dan sebagainya terus berjalan tanpa sekatan.

Justeru, dapatlah kita ketahui bahawa bidang yang terjamin adalah bidang pertanian. Jadi, mengapa bidang ini masih dianggap sebagai tiada masa depan? Jika sebelum ini, ramai yang berfikir bahawa bidang ini tiada masa depan, aku fikir kita perlu mula berfikir semula tentangnya setelah melihat malapetaka yang melanda hari ini saat ribuan malah ratusan ribu hilang pekerjaan tetapi bidang ini kekal bertahan.

Aku teringat masa keputusan SPM aku keluar dulu, bidang yang banyak diisi dan dimohon masa tu (isi borang manual babe time tu) yang aku apply ialah Pertanian sama ada di Universiti dan Politeknik. Sejujurnya, pilihan bidang mak bapak aku yang dorong dan arah untuk pilih pertanian. Alhamdulillah, aku ditawarkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di Politeknik Kota Bharu masa tu. Tapi bila pergi bersama kawan-kawan ke rumah cikgu-cikgu berjalan raya sebelum kami masing-masing melanjutkan pengajian, cikgu-cikgu, jiran tetangga, pakcik-pakcik bawang akan tanya soalan sama "Dapat sambung mana?Course apa?" Bila kawan-kawan lain jawab bidang masing-masing kebanyakan respons mereka adalah "oklah tu, belajar rajin-rajin" tapi bila time aku bagitau yang aku dapat course kejuruteraan mekanikal pertanian, respons yang diterima sama mereka diam seketika, ada yang cubaa sedapkan hati dengan berkata "okla tu," tapi tak kurang juga dengan menyatakan dengan jelas dari hati nuraini mereka "Pertanian?, Pertanian is NO FUTURE". Kata-kata itu terngiang-ngiang sampai sekarang.


Tugas mulia

Sebenarnya, bidang pertanian merupakan salah satu tugas yang mulia. Apa tidaknya, menghasilkan pengeluaran makanan kepada manusia bukankah suatu tugas mulia? Namun, perlu diakui majoriti bidang ini dijalankan oleh mereka yang telah berusia. Bidang ini perlukan suntikan tenaga muda untuk menceburinya. Teknologi canggih seperti big data, IoT, Automasi, IR4.0 dalam pertanian dan pelbagai lagi bagi mendepani cabaran mendatang untuk memastikan kecukupan makanan kepada masyarakat sentiasa terjamin. Satu lagi, tidak bermakna pilih bidang pertanian ini anda perlu jadi pak tani sahaja. Bukan. Ingat, anda juga berpeluang untuk menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan, eksekutif, pengurus dan sebagainya sama ada di sektor awam mahupun swasta. Disini aku senaraikan antara jawatan atau bidang pertanian yang tak semestinya kamu perlu pikul cangkul macam makcik pakcik bawang ceritakan itu. 

  • Sektor Kerajaan
            - Jabatan Pertanian

            - Jabatan Perkhidmatan Veterinar

            - Jabatan Perikanan

            - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

            - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

            - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)

            - Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

            - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

            - MADA, KADA

            - LAIN-LAIN

  • Sektor Swasta
            - SYARIKAT-SYARIKAT PERLADANGAN (SIME DARBY, FELDA, FELCRA,                      TABUNG HAJI PLANTATION, KLK, UNITED PLANTATION, BOUSTEAD                                  PLANTATION,  GENTING PLANTATION, MALAKOFF dan sebagainya

Jika kamu mengambil jurusan Diploma Pertanian, kamu berpeluang untuk menjadi Penolong Pegawai Pertanian gred G29 di Jabatan Pertanian, MADA, KADA, RISDA dan sebagainya di sektor kerajaan. Gaji penjawat awam sekarang ini tidaklah terlalu kecil sangat tapi tidaklah semewah rakan-rakan di sektor swasta. Sementara jika kamu memilih di sektor swasta pula, mungkin kamu berpeluang menjawat jawatan eksekutif di syarikat-syarikat perladangan, dan sebagainya. Cumanya aku dapati bidang pertanian ini kurang popular kerana kurangnya pendedahan dan mungkin pengiktirafan yang selayaknya. 

Pengiktirafan

Dalam pada usaha kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan para peladang, penternak dan nelayan kita saban tahun, Seharusnya, kerajaan perlu mula merangka untuk mengadakan satu hari sambutan untuk menghargai peranan yang dimainkan oleh para pegawai khususnya yang terlibat dalam sektor pertanian ini sebagai tanda menghargai mereka yang berdepan di lapangan termasuk membimbing dan mendidik para petani dan peladang kita dari segi aspek teknikal, khidmat nasihat dan juga ilmu pengetahuan serta kemahiran menerusi latihan. Sebagai contoh Sambutan Hari Pegawai Pertanian Malaysia atau Sambutan Hari Pegawai Peladang Malaysia. Sambutan ini sama sepertimana sambutan hari guru, hari jururawat, hari polis malah sambutan hari pustakawan juga ada disambut setiap 6hb Jun setiap tahun. Sambutan seumpama ini penting bagi menaikkan moral para pegawai supaya mereka merasakan sumbangan mereka sentiasa dihargai.

Penutup

Tiba masanya pendedahan kepada pelajar mengenai prospek bidang pertanian ini cerah dan menjamin masa depan. Kalau pun terpaksa menjadi petani, jadilah petani moden. Ramai di luar sana yang menceburkan diri di dalam bidang pertania telah berjaya walaupun tidak kurang juga ramai yang kecundang. Tetapi keazaman untuk merubah nasib dan menjadikan bidang ini penting serta dapat memastikan ianya menjadi pilihan utama masyarakat serta para pelajar akan datang harus dimulai dari sekarang. Antara usaha yang boleh dilakukan dengan kokorikulum sekolah perlu dimasukkan Kelab Pertanian Sekolah agar pendedahan diperingkat sekolah dapat dilakukan dari awal. Sementara diperingkat universiti pula, perlu diwajibkan satu pendedahan atau executive talk atau apa saja wacana kepada para pelajar universiti dengan menjemput para pegawai dalam bidang pertanian sama ada dari Jabatan Pertanian ke LPP ke MARDI ke atau Sime Darby atau Felda diberi slot untuk memberi pendedahan berguna kepada para pelajar selain memberi gambaran mengenai prospek sektor ini.

Iklan dan promosi menerusi tv, radio, media sosial dan sebagainya mengenai success story terhadap bidang pertanian dilakukan dengan lebih agresif supaya ianya dilihat sebagai satu kerjaya buruan. Kerajaan juga diseru supaya untuk mengkaji mengenai skim perkhidmatan bidang pertanian ini diangkat setingginya setaraf dengan perkhidmatan perguruan misalnya supaya menjadikan bidang ini lebih diminati oleh pelajar memilihnya.

Aku yakin, menerusi usaha-usaha menerangkan akan kepentingan dan kelebihan bidang yang ever green ni kepada mereka dibangku sekolah lagi dan berterusan diperingkat universiti, mampu mengangkat martabat selain mempopular bidang ini khususnya untuk menarik golongan muda tercapai, insya Allah. 




Wednesday, 30 June 2021

BLOG YANG MELUCUKAN DAN MENGGEMBALIKAN MEMORI ZAMAN REMAJA

 Assalamualaikum semua,

Semalam aku sengaja tinjau balik blog yang suatu masa dulu pernah jadi 'trending' di Malaysia bila ramai yang ada akaun blog yang menjadikannya sebagai medium penulisan dalam menyampaikan pandangan masing-masing. Tak kurang juga bagi ahli politik yang mengkritik dan menyampaikan pandangan mereka menggunakan blog. Sementara mereka-mereka yang menggunakan blog sebagai menjana pendapatan juga bijak mengambil peluang.

Aku? jadikan blog sebagai meluahkan pandangan serta berkongsi sesuatu dengan pembaca yang melayari dan singgah di blog aku ni saja.

Ok, berbalik semula pada kisah semalam, aku ada seorang kawan sekolah ni, aku tahu dulu dia juga ada blog. Tapi macam aku juga dan yang lain-lain, bila perubahan zaman, nampaknya kini orang telah mula beralih kepada media sosial yang lain seperti Twitter, FB dan Instagram.  So jadi, kelihatannya blog sudah semakin lesu dan sendu.

Jadi, aku cari balik blog seorang kawan ni dan ya ternyata memang dan lama tersadai tanpa entry terbaru pun. Dan aku mula membaca coretannya yang lama satu persatu. Semakin aku baca makin kelakar la pulak😆. Secara automatik, ianya terus mengimbau memori lampau yang indah. 

Kini, kami telah berkeluarga dan membawa haluan masing-masing dan aku doakan dia moga dikurniakan kesihatan yang baik dan ceria selalu dan kekal lawak!

MUNGKIN DAH BERHABUK

 Salam semua,

Dah lama tak menjengah di blog aku ni.. Insya Allah, time PKP macam ni akan cuba luang masa untuk kembali menulis di blog yang dah bersawang ni.. See you later guys!

Monday, 7 October 2019

Budayakan amalan suka membaca dalam kehidupan!

Slogan 'Bangsa membaca, bangsa berjaya!' hanya akan tinggal dalam catatan dan slogan sahaja jika ianya tidak dimulakan sebagai budaya dalam masyarakat. Tanpa membaca dengan banyak bahan-bahan ilmiah yang boleh menambah pengetahuan seseorang tidak mungkin membolehkan seseorang mahupun sesebuah bangsa itu berjaya. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk perubahan minda dan budaya terhadap bahan bacaan yang ilmiah dijadikan amalan harian. Melalui cara ini pastinya akan memupuk generasi akan datang rakyat negara ini untuk lebih progresif serta mencintai ilmu.

Jika kita amati budaya masyarakat negera-negara maju, rakyat di sana antara cirinya adalah menjadikan membaca sebagai budaya mereka. Melalui pembacaan juga sesuatu perkara baru dan ilmu baru diperolehi. Lihatlah negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, negara-negara di sebelah barat yang maju bukan sekadar pertumbuhan ekonomi mereka pesat, namun ianya turut disertai oleh cara fikir dan sudut pandang masyarakatnya. Ketinggian intelektualisme, berintegriti tinggi, kesopanan dan sebagainya ciri-ciri ketamadunan ada disemai dan terserlah menerusi masyarakat sesebuah negara.

Sebagai contoh, negara seperti Korea Selatan pernah menjadi fenomena di mana masyarakatnya menjadi 'demam mencintai ilmu' dan dalam masa sama tidak pula meminggirkan budaya ketimuran yang dipegang sejak berkurun lamanya. Akhirnya hari ini, Korea Selatan telah jauh meninggalkan kita dari sudut pendidikan. Mereka telah muncul sebagai negara maju dengan acuan mereka sendiri. Tanpa ilmu pengetahuan, sesebuah bangsa itu akan mundur dan ketinggalan. Justeru, bangkitlah mulai hari ini untuk mengubah sikap dan minda kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai budaya. Mulakan dengan mungkin bahan bacaan yang mudah dan ringkas terlebih dahulu sebelum beralih kepada bahan bacaan ilmiah yang berat. Kita boleh lakukan ini jika kita punyai iltizam dan mahu melakukan perubahan dan kita lakukan. Bukan menunggu hari esok sebaliknya sekarang.

Tahap kesedaran membaca khususnya kepada bahan-bahan bacaan ilmiah ini dilihat masih rendah. Bukan itu sahaja, bahkan untuk mengikuti isu-isu semasa juga semakin tidak diendahkan oleh generasi masa kini. Mereka lebih terarah kepada perkembangan sukan dan juga artis serta selebriti. Selain itu juga, mereka lebih menumpu kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, dan sebagainya mengenai video dan berita yang belum sahih untuk ditularkan. Sebaliknya jika ada mengenai sesuatu maklumat yang memerlukan pembacaan mengenai rencana panjang, mereka lebih terdorong untuk 'scroll' sahaja dan tidak akan membacanya. Nah, jika begini sikapnya, mana mungkin generasi kini mampu menaakul sesuatu perkara dengan lebih kritis dan berfikir secara rasional sebelum bertindak? Ini yang berlaku di media-media sosial apabila sesuatu perkara timbul, yang datang menyerang tanpa fakta memaki hamun tanpa usul periksa dan sekadar mengetahui ditengah-tengah tanpa menafsir dengan hikmah sebelum menyatakan pandangan.

Negara ini lama-kelamaan akan menjadi lemah apabila generasi yang enggan membudayakan amalan membaca semakin dipinggirkan dalam masyarakat. Bagi mengupas sesuatu isu atau perkara memerlukan ilmu pengetahuan. Tanpanya anda mungkin tidak mampu mengupasnya. Hal ini juga merupakan penyumbang kepada kegagalan seseorang calon temuduga ketika menghadiri temuduga untuk sesuatu jawatan. Mereka tidak mengetahui perkembangan semasa. Jangankan mengenai kesan kepada perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, silap-silap calon itu pulak yang terkejut tentang perang dagang kerana itulah kali pertama yang didengarinya. Belum lagi mengenai IR4.0, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang baru diumumkan kerajaan untuk dasar ekonomi negara dan sebagainya. Cakna kepada perubahan dan perkembangan semasa. Usaha untuk mendapatkan sebanyak-banyak maklumat sekurang-kurangnya untuk diri sendiri menambah ilmu. 

Budaya membaca ini boleh dipupuk sejak dari kecil lagi. Ibubapa yang mempunyai anak-anak harus memulakan sebagai contoh teladan kepada mereka. Peruntukkan masa dalam sehari untuk diluangkan dengan membaca. Rencana-rencana yang bersesuaian untuk merangsang minda berkembang. Tetapkan sasaran untuk berapa bilangan buku yang minimum untuk dihabiskan bacaannya dalam 1 tahun. Lama-kelamaan ianya akan menjadi budaya dalam keluarga. Sebelum kepada konteks yang lebih besar seperti negara, ayuh kita mulakan untuk membudayakannya dalam keluarga kita. Ingatlah, jika kita gagal untuk merancang sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal.

wallahua'lam.

Tuesday, 6 August 2019

Persediaan dan cabaran menghadapi sesi temuduga pegawai di sektor awam


Mendapat sesuatu pekerjaan merupakan saat yang paling menggembirakan buat mereka yang masih lagi sehingga kini bergelut untuk mendapatkan pekerjaan. Apatah lagi jawatan yang dijawat itu pula adalah setaraf dengan kelulusan yang dimiliki oleh calon. Kebiasaannya kita dapati bahawa rakan-rakan kita yang sudah mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka membuatkan seolah-olah mudahnya mereka dapat pekerjaan itu. Mengapa aku tidak? Di sini aku ingin kongsikan sedikit mengenai persediaan dan juga cabaran bagi menghadapi sesi temuduga khususnya di sektor awam.

Cabaran menjawat jawatan pegawai di sektor awam

Tidak dinafikan, untuk seseorang itu mendapat pekerjaan sangat sengit pada zaman kini memandangkan jumlah permohonan dan calon layak adalah terlalu banyak sedangkan peluang tempat adalah terhad. Bagi mereka yang berminat untuk memasuki sektor awam lagi lah semakin ketat dan juga sengit. Hari ini kaedah pemilihan seseorang calon untuk menjawat jawatan pegawai di sektor awam semakin sukar. Pemilihan semakin ketat memandangkan perkhidmatan awam hari ini memerlukan mereka yang 'cemerlang' dan terbaik dikalangan yang terbaik. Antara cabaran lain bagi calon-calon untuk menjawat jawatan pegawai adalah seperti berikut;


  1. Calon cemerlang terlalu ramai (dari segi kelulusan akademik, pencapaian, pengalaman dsbnya)
  2. Tempat di sektor awam adalah terhad
  3. calon perlu melalui beberapa fasa pemilihan/saringan sebelum menjawat jawatan Pegawai di sektor awam
  4. Soalan-soalan yang dikemukakan panel temuduga bersifat global & 'creative and critical thinking'
*Pegawai yang dimaksudkan di sini adalah jawatan di gred 41 dan ke atas.

Calon cemerlang terlalu ramai dan tempat adalah terhad


- seperti sedia maklum bahawa dunia hari ini terlalu ramai calon yang layak dari segi akademik, pengalaman dan pencapaian. Justeru, calon perlu bersaing untuk merebut jawatan yang disediakan. Misalnya, sesebuah jabatan diperingkat daerah akan ditempatkan seorang pegawai bergred 41 untuk memimpin di daerah berkenaan. Contoh; Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah xx.

Fasa pemilihan / saringan 

- Pemilihan untuk melantik pegawai kerajaan dipelbagai jabatan dan agensi perlu melalui berberapa fasa saringan sebelum seseorang untuk ditawarkan surat lantikan. Programme Assessment Centre (PAC). Kepada yang pernah lalui PAC tentunya tahu. Berikut beberapa fasa saringan yang perlu dilalui seseorang calon iaitu; (a) Saringan kelayakan akademik, (b) peperiksaan online, (c) ujian kecergasan, kumpulan perbincangan, public speaking (d) ujian psikometrik (e) sesi temuduga. 

Untuk melepasi setiap satunya, yang dah berpengalaman tahu lah macam mana peritnya. Kepada yang pertama kali, ini antaranya yang perlu dilalui oleh seseorang calon.

Soalan panel temuduga bersifat global, creative & critical thinking

Bila korang berjaya melepasi semua fasa itu, maka akan sampai ke peringkat temuduga. Pada sesi temuduga ini lah akan peringkat akhir bagi menguji calon-calon sama ada berjaya atau tidak. Dan part ni lah pada sesiapa yang bila keluar result kalau tidak berjaya pasti frust menonggeng! Sebabnya tinggal satu step je lagi. Tetapi, bila sampai peringkat temuduga bukannya mudah untuk dilepasi. Soalan-soalan yang dikemukakan juga sangat tough. Antara soalan yang ditanya adalah bersifat global, penyelesaian masalah dan juga critical & creative thinking selain general knowledge untuk menilai penguasaan serta sejauh mana persediaan calon itu. Contoh soalan yang pernah ditanya bagi mengisi jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB);


  1. Apakah bidang tugas PPM S41?
  2. Sebutkan nama penuh YDPA
  3. Berikan contoh negara-negara luar yang berjaya yang boleh dijadikan contoh sebagai model membangunkan luar bandar untuk diaplikasi di Malaysia?
  4. Apakah inisiatif atau idea atau cadangan kamu untuk memastikan penembusan jalur lebar dapat ditembusi ke kawasan pedalaman memandangkan syarikat-syarikat telco pon enggan memasang pencawang di kawasan pedalaman kerana kos sangat tinggi?
  5. IR 4.0 , isu perang dagang antara Amerika-China, kesan pubG kepada masyarakat, 
  6. Bagaimana mahu menarik minat masyarakat luar bandar untuk datang ke program kementerian tanpa perlu menjadikan selebriti sebagai tarikan?
  7. Bagaimana kamu boleh cadang untuk selesaikan masalah masyarakat orang asli yang paginya masuk islam, petangnya keluar agama? bagaimana nak pastikan mereka kekal dalam islam?
Itu antara sedikit soalan-soalan yang pernah ditanyakan kepada calon-calon temuduga untuk menjawab dengan penuh hikmah.

Kesimpulannya, calon-calon yang berminat untuk menyertai sektor perkhidmatan awam, perlu bersedia dari segi pengetahuan yang luas, mengasah kemahiran berbahasa inggeris memandangkan kerajaan hari ini memerlukan para pegawai yang mahir berbahasa inggeris. Semoga korang berjaya! 


Saturday, 3 November 2018

Salam buat semua

Assalamualaikum wbt buat semua bloggers dan juga pembaca..

Dah lama aku x update blog aku nih..sampai password pn dah lupa. Busy sangat sekarang nih sampai xpunya masa nak update. Insya Allah, jika ada masa terluang aku akan tulis lagi.. Keep in touch ya. bye