Sunday, 9 February 2025

KESAN TERHADAP PELAKSANAAN GAJI MINIMUM

    01 Februari 2025 bermulanya perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan  iaitu pada kadar RM 1,700.00/bulan bagi pekerja sektor swasta yang mempunyai pekerja melebihi 5 orang. Sementara mana-mana majikan yang mempunyai kurang 5 orang pekerja pula, maka pelaksanaannya adalah bermula pada 01 Ogos 2025. Pelaksanaan ini maka menjadikan pelaksanaan kali ke-5 oleh kerajaan bagi memastikan kadar upah dalam pasaran buruh terutama dalam sektor swasta dinaikkan secara mandatori. Namun begitu, apakah kesan terhadap organisasi, majikan dan produktiviti?

    Jika kita amati pengumuman mengenai pelaksanaan perintah ini ianya cukup terkait dengan produktiviti, kualiti dan juga kesan terhadap kewangan organisasi yang menggaji pekerja. Jika asasnya untuk mengimbangi kos sara hidup kini ianya adalah langkah tepat. Namun, disebalik pelaksanaan ini sebenarnya memberi kesan kewangan yang besar terhadap kewangan organisasi. Bayangkan sesebuah organisasi yang menggajikan pekerja 10 orang perlu meningkatkan kos operasi untuk menampung perbelanjaan gaji sahaja. Sudah tentu, bagi organisasi yang belum stabil dari segi kewangan bakal berisiko gulung tikar. 

    Pada pandangan saya, menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) boleh mengumumkan penetapan gaji minimum seberapa banyak nilainya, tetapi bukan semata-mata aspek kadar upah. Ianya perlu disusuli dengan pertanggungjawaban terhadap pekerja dan bukan semata-mata ke atas majikan semata-mata. Cadangan saya, dikala majikan diminta untuk membayar kadar upah lebih tinggi iaitu pada kadar RM 1,700/bulan setiap orang (paling minimum), pekerja juga seharusnya dimasukkan dalam perintah gaji minimum berkenaan atau di dalam Akta Pekerja mengenai tanggungjawab dan peranan pekerja yang perlu diperluaskan skopnya atau fungsi yang 'multi-tasking'. Disamping itu juga peningkatan kadar upah mesti seiring dengan kualiti dan kecemerlangan prestasi setiap pekerja. Apa yang dilakukan sekarang, upah bagi cuci pinggan, tukang cuci (cleaner) dan pekerja lain seperti jurujual atau pam attendant adalah sama. 

   Dalam hubungan itu, satu parameter mengukur prestasi perlu dibuat untuk majikan bagi membolehkan bayaran upah itu dapat melonjakkan prestasi dan produktiviti dalam organisasi. Menerusi kaedah ini, dijangka organisasi akan dapat berkembang dan boleh mencapai hasrat kerajaan agar kadar upah di Malaysia suatu hari nanti paling minimum adalah pada kadar RM 4,000/bulan. Dalam satu dua hari ini, dilaporkan bahawa syarikat petroleum negara iaitu Petronas bakal embuat penstrukturan semula pekerja bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan syarikat untuk bertahan setelah mendepani cabaran masa kini. Dijangka pemberhentian pekerja besar-besaran boleh berlaku dalam syarikat petroleum negara itu yang kini mempunyai kira-kira 52,000 orang kakitangan keseluruhannya. 

    Ketika kita sedang mahu membela nasib pekerja, kerajaan juga perlu mengambilkira ekosistem pasaran, ekonomi dan kepentingan majikan juga agar berada dalam keadaan 'menang-menang'. Pertumbuhan sihat dalam dunia perniagaan amat penting. Kita khuatir dengan penetapan demi penetapan yang dilakukan bukan bersifat pertimbangan wajar dari petunjuk sebenar pasaran dan ekonomi sebaliknya diambil berdasarkan populis semata-mata bakal meruntuhkan sistem dan perniagaan sedia ada. Saya percaya hasrat kerajaan adalah murni namun, ianya perlu diperhalusi dari segi kesan dan impaknya terhadap organisasi agar pelaksanaannya itu bakal memberi kesejahteraan terhadap warga keseluruhannya.

Wallahu'alam.

 

No comments:

Post a Comment