Saturday, 8 February 2025

CADANGAN PENGUSIRAN RAKYAT PALESTIN DARI GAZA

    Ketika  dunia baru menarik nafas lega sebaik sahaja pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan tentera Israel baru-baru ini, timbul pula perancangan untuk mengeluarkan rakyat negara sendiri dari tanah air mereka. Hal ini kononnya bagi membolehkan keamanan dapat dicapai secara total di rantau berkenaan. Cadangan ini diutarakan oleh Presiden US yang baru mengangkat sumpah iaitu Donald Trumph. Beliau turut memberi penjelasan lanjut mengenai perancangannya bagi memberi kesejahteraan, keamanan, kebahagian buat rakyat palestin untuk hidup di mana-mana negara selain daripada terus tinggal di Gaza. Selain itu juga, Gaza akan dibangunkan dengan Israel menyerahkan wilayah berkenaan kepada USA untuk dibangunkan semula disebalik keruntuhan dan kemusnahan teruk akibat kesan perperangan. Malah ketika ditanya bilakah rakyat Palestin akan kembali semula ke Gaza? jawapannya adalah selama-lamanya tidak perlu kembali. 

    Tindakan ini bukan sahaja mengusarkan rakyat Palestin, bahkan dunia. Kebimbangan ini ada asasnya memandangkan jika rancangan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan selepas ini, maka ianya bukan sahaja akan menyebabkan ketegangan kembali memuncak, bahkan turut memberi kesan lain kepada negara-negara yang tidak terlibat dalam perperangan sebelum ini. Tindakan yang bertopengkan keamanan sebenarnya akan mengundang lebih banyak kesan buruk berbanding kebaikan. Ramai tokoh atau pemimpin dari pelbagai negara telah menyatakan bantahan berkaitan cadangan daripada white house itu dan antaranya adalah termasuk dari Malaysia. Seharusnya, sebagai mencari jalan penyelesaian, bukan bermakna untuk merampas tanah dari pemiliknya dan diserahkan kepada orang lain menerusi kekerasan. Sebaliknya, perundingan damai hendaklah dilakukan dan dalam masa sama membantu masyarakat di sana dalam membangunkan semula negara yang sudah hampir hancur itu. Menghentikan tindakan-tindakan ganas dan kejam serta penindasan berterusan merupakan satu pendekatan yang sewajarnya dilakukan. Apakah dengan mengambil tindakan pengusiran seumpama ini akan melemahkan pasukan mujahidin? Sudah tentu sekali tidak. Bahkan akan meningkatkan lagi kekuatan dan sokongan terhadap pasukan ini dalam memperjuangkan pembebasan Palestin dari cengkaman zionis.

    Moga Allah bersama dengan orang-orang yang dizalimi dan menghancurkan musuh-musuh yang mahu membuat kebatilan dan kezaliman.

Wallau'alam.


No comments:

Post a Comment