Tindakan
sekatan ke atas produk-produk keluaran beberapa syarikat dari Malaysia oleh
Jabatan Kastam dan Pelindungan Sempadan (CBP) beberapa tahun kebelakangan ini
susulan terdapat dakwaan bahawa produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat
yang beroperasi di Malaysia terlibat dengan aktiviti buruh paksa amat
mengejutkan.
Beberapa
tahun lalu, CBP Amerika Syarikat pernah mengenakan sekatan di bawah Perintah
Tahanan Pelepasan (WRO) kerana terdapat laporan yang diterima bahawa terdapat
unsur aktiviti buruh paksa untuk penghasilan produk yang bakal dipasarkan di
pasaran US. Misalnya pada tahun 2019, syarikat pengeluar sarung tangan getah
pakai buang WRP Asia Pacific yang beroperasi di Selangor telah dikenakan WRO
oleh pihak CBP Amerika Syarikat. Selain itu juga, Top Glove corporation yang
juga pengeluar sarung tangan getah juga pernah dikenakan sekatan sama pada
tahun 2020 dan 2021. Namun, kedua-dua syarikat telah dilepaskan semula setelah
langkah-langkah dan tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan masing-masing
bagi mengatasi perkara berkenaan.
Terbaru,
beberapa syarilat lagi turut dikenakan WRO iaitu Sime Darby Plantation beserta
anak syarikatnya, Supermax corporation bhd, Mazter Glove Manufacturing dan
Supermax Glove. Disamping itu juga, syarikat pengeluar sarung tangan getah YTY
Group turut menerima nasib sama apabila dikatakan terlibat dengan aktiviti
buruh paksa dalam proses pengeluaran produk masing-masing. Pentadbiran Amerika
Syarikat menekankan tentang pemerangan terhadap sebarang elemen atau unsur
pemerdagangan manusia dan juga buruh paksa daripada luar untuk memasuki pasaran
di sana. Akta Tarif 1930, Amerika Syarikat melarang pengimportan barang yang
dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya menggunakan buruh paksa, buruh terikat
(kuli kontrak) atau buruh tahanan dari mana-mana bahagian dunia ke Amerika
Syarikat.
Justeru,
tindakan sekatan ke atas produk minyak sawit oleh Sime Darby atas tuduhan
bahawa syarikat perladangan terbesar di Malaysia itu terlibat dengan buruh
paksa adalah sesuatu yang mengecewakan. Kini, syarikat berkenaan sedang
berusaha untuk membuktikan bahawa tiada sebarang unsur atau elemen buruh paksa
dilakukan oleh syarikat berkenaan. Inisiatif syarikat berkenaan juga turut
melantik perunding bebas untuk mengemukakan laporan berhubung perkara yang
didakwa sedang dalam tindakan untuk mengeluarkan laporan tersebut. Dalam masa
sama juga, pihak kerajaan turut memandang serius berhubung dakwaan berkenaan
dan secara tidak langsung turut menjejaskan imej negara dipersada antarabangsa
sekiranya ianya terbukti benar.
Isu
buruh paksa ini merupakan isu sejagat yang diperjuangkan diperingkat
antarabangsa. Badan tertinggi dunia seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)
misalnya telah menggariskan 11 petunjuk penting tentang sama ada wujud atau
tidak unsur atau elemen buruh paksa di era moden ini. 11 petunjuk berkenaan
adalah seperti berikut;
(i) Pengainayaan
(ii) Sekatan pergerakan
(iii) Penahanan gaji
(iv) Penipuan
(v) Pengasingan
(vi) Keganasan fizikal dan seksual
(vii) Intimidasi dan ancaman
(viii) Penyimpanan dokumen pengenalan
diri
(ix) Pehambaan hutang
(x) Keadaan tempat kerja dan tempat
tinggal yang teruk
(xi) Kerja lebih masa yang berlebihan
Jika
mana-mana syarikat yang ingin mengeksport barangan masing-masing ke Amerika
terdapat salah satu petunjuk yang digariskan ILO ini, maka sekatan ke atas
produk keluaran sesebuah syarikat itu bakal dikenakan sehinggalah syarikat
terbabit meraktifikasi atau membuktikan bahawa tiada elemen buruh paksa
dilakukan oleh syarikat dengan memenuhi dan mematuhi petunjuk ILO ini untuk
sekatan berkenaan diangkat semula. Anggaran daripada ILO tahun 2017 yang lalu,
menyatakan angka buruh paksa seluruh dunia adalah sekitar 25 juta orang.
Sekatan
terhadap WRP Asia Pacific sebelum ini misalnya dilakukan apabila terdapat aduan
diterima serta dilaporkan oleh media tentang unsur-unsur buruh paksa berkenaan
sehinggakan pihak CBP, US mendapati ianya merupakan suatu bukti yang munasabah
untuk mengenakan sekatan berkenaan dan pada tahun 2020 syarikat berkenaan tidak
lagi dikenakan tindakan sekatan berkenaan. Sementara Sime Darby pula bermula
daripada dakwaan yang dibuat oleh kumpulan anti-pemerdagangan manusia, Liberty
Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong pada April 2020. Apapun, tindakan
untuk mengatasinya sedang diambil oleh syarikat dan kerajaan bagi menanganinya.
Seharusnya syarikat-syarikat yang dikenakan sekatan itu perlu diberi peluang
untuk memberi penjelasan dan membuktikan bahawa mereka tidak terlibat dengan
perkara berkenaan dan mungkin sekadar tohmahan semata-mata. Perkara ini
hendaklah diteliti dengan sebaiknya sebelum sesuatu tindakan atau keputusan
dibuat mengenainya. Jika benar, maka tiada kompromi boleh diberikan terhadap
perkara ini. Tetapi jika sebaliknya, ianya akan menjejaskan imej syarikat dan
negara juga. Sebab itu ianya harus ditangani dengan berhati-hati.
Malaysia
merupakan antara negara yang memerangi pemerdagangan manusia (human
trafficking) dan juga sebarang aktiviti buruh paksa dalam pasaran buruh moden
masa kini. Sebagai tanda komitmen dan kesungguhan Malaysia dalam membasmi buruh
paksa di negara ini apabila kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia telah
melancarkan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025
pada November 2021 yang lalu. 4 matlamat strategik di bawah pelan tindakan
berkenaan yang antara lain memberi penekanan terhadap aspek (i)kesedaran, (ii) penguatkuasaan, (iii)
migrasi buruh dan (iv) akses kepada remedi dan pelindungan untuk mangsa. Selain
itu juga, kesediaan Malaysia untuk meraktifikasi protokol 29, Konvensyen Buruh
Paksa 1930 apabila kabinet telah bersetuju mengenainya pada November tahun lalu
membuktikan komitmen Malaysia betapa seriusnya untuk membasmi kegiatan ini
daripada berlaku di negara ini.
Dari sudut lain pula, menerusi sekatan-sekatan yang dikenakan oleh CBP ini telah menjadikan mana-mana syarikat sama ada kecil, sederhana mahupun besar sentiasa berjaga-jaga dan berusaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan tahap kebajikan terhadap kakitangan masing-masing dalam mengejar keuntungan kepada syarikat. Pada era serba canggih ini, maklumat dihujung jari dan mudah diperolehi. Setiap kita terdedah kepada dunia melalui teknologi. Justeru, sikap dan pendekatan yang diambil hendaklah penuh himah dan berhati-hati. Wang bukan segala-galanya. Aset paling berharga buat syarikat ataupun organisasi adalah modal insan. Setiap syarikat atau organisasi perlu memandang serius terhadap perkara ini dan isu-isu sejagat agar tidak terpalit dan dibelenggu dengan sebarang pelanggaran protokol-protokol digariskan badan antarabangsa amnya.
Semoga Malaysia bakal muncul sebagai antara
negara yang menjadi rujukan dan bebas daripada sebarang unsur buruh paksa atau
terpalit dengan kontroversi diperingkat antarabangsa yang boleh menjejaskan
imej negara di mata dunia. Menerusi komitmen dan pelan tindakan yang baru
dilancarkan telah meletakkan Malaysia dilandasan betul ke arah keharmonian dan
kesejahteraan buruh di negara ini secara keseluruhannya serta bakal muncul
negara maju yang setanding dan berprestij di mata dunia suatu hari nanti, Insya
Allah.
No comments:
Post a Comment