Sunday 13 March 2011

Jangan mengikut emosi

”Cintailah kekasihmu sekadarnya,siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya,siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti” – saidina Ali bin Abi Talib

Ketika saya mula membaca keratan kata-kata ini di ruang sebuah majalah, agak membuatkan saya terfikir panjang mengenai maksud kata-kata hikmah ini. Barangkali ianya juga berkait dengan kehidupan seharian saya. Boleh jadi ianya juga mampu menjadi penyuluh untuk perjalanan masa depan. Sepertimana biasa, dalam hari0hari yang ditempuhi, banyak cabaran-cabaran yang perlu dihadapi terutama dalam bidang tugas dan juga pergaulan. Tak semuanya dilalui dengan mudah dan murni. Kadang-kadang, berlaku beberapa perkara yang pahit untuk ditelan tetapi itulah kehidupan.

Mengingatkan kata-kata daripada Saidina Ali bin Abi Talib, membuatkan saya bermuhasabah diri sendiri dan merenung sepanjang yang telah dilalui hingga kini. Kata-kata ini juga membuatkan saya insaf mengenai persahabatan,kasih sayang,kebencian dan beberapa lagi perkara. Sudah menjadi lumrah, kalau kita benci seseorang tu, kita selalunya meletakkannya ke tepi dan menganggap ianya sebagai musuh. Atas rasa bencinya kita kepada musuh, ada diantaranya yang sanggup melakukan apa saja untuk memastikan ‘musuh’ itu akan sentiasa tewas setiap kali berhadapan dengannya. Tambah teruk lagi ada pula yang menggunakan khidmat bomoh untuk menjahanamkan lawannya. Dalam pergaulan harian pula, kebiasaanya pertimbangan emosi selalu menjadi pilihan pada tiap kali membuat keputusan tanpa mengambil kira faktor fakta yang nyata dan menggunakan kefahaman berfikir dan menimbang terlebih dahulu sebelum bertindak. Jika dilihat contoh-contoh disekiling kita pun saya rasa banyak sekali. Jika ingin mengambil contoh daripada parti-parti politik sendiri pon jelas sekali. Dulu ketika orang ini menyokong parti ini, maka dia kutuk parti sebelah sana yang bukan-bukan. Tapi hari ini dia sendiri menyokong parti sana dan menhentam pula yang sebelah sini. Begitulah sebaliknya. Jelas menerangkan kata-kata hikmah di atas agar membenci sekadarnya.

Guru saya ada berpesan supaya jangan membuat keputusan ketika sedang marah, dan jangan memberi janji ketika seronok. Kata-kata hikmat ini juga sesuatu yang baik untuk direnungkan. Sesungguhnya, perasaan marah yang membuak-buak itu perlu ditenangkan terlebih dahulu. Boleh jadi ianya juga hasil dorongan syaitan yang mendesak. Sebaiknya bertenang kerana ketenangan itu mampu memberi kita untuk bertindak dengan waras dan membuat keputusan yang tepat dan berkesan. Hati manusia sukar dibaca. Tahap kepercayaan kepada sesama kita juga perlu mempunyai had dan batasan. Boleh jadi hari ini dialah yang dianggap kawan sejati, siapa tahu kemudian hari dialah yang bakal menjadi musuh. Orang kepercayaan biasa susah mengkhianati rakannya. Tetapi bukanlah mustahil.

Pendekatan yang diplomasi dalam apa jua keadaan adalah sesuatu yang baik. Menjuarai dan menguasai keadaan adalah seorang yang hebat. Ketika suasana tegang dan marah, jika anda mampu mengawal keadaan dengan cara yang tersendiri, sesungguhnya anda merupakan orang yang hebat dan mulia. Persoalannya, berapa ramai pula yang punyai kelebihan seperti itu? Mengawal emosi dan mengawal perasaan untuk menegakkan pendapat kita adalah sesuatu yang boleh dilentur. Melatih kemahiran untuk mendengar pendapat orang lain juga boleh diasuh. Ianya bukanlah sesuatu yang rigid,tetapi memerlukan latihan rohani dan mengambil masa. Membuat penilaian dan keputusan adalah sesuatu perkara yang agak seni. Tidak dapat diperolehi daripada mana-mana universiti di dunia mahupun ditempat-tempat pengajian terkemuka. Tetapi, ianya datang daripada kebijaksanaan serta penghakiman yang luhur. Kita amat sedar, setiap keputusan yang dibuat tidak mampu menyenangkan semua pihak, tetapi biarlah keputusan itu memberi manfaat dan tepat pada masa dan keadaannya.

Bagi pemimpin, sama ada membenci atau menyintai, jika berada dalam pasukan, ianya mestilah mengambil keadaan di mana yang dia mesti bersikap neutral dan keputusan yang dibuat itu hendaklah berlandaskan pertimbangan yang telah dihalusi dan bukannya berlandaskan emosi dan perasaan semata-mata. Kuasa Allah adalah segala-galanya. Akhir kata, saya berdoa agar saya dan anda yang membaca entri ini dapat manfaat serta diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t dalam memastikan kita memperolehi sebanyak mungkin kawan yang menyukai kita berbanding orang-orang yang membenci kita, kerana menjalinkan ukuwah dalam kehidupan adalah sebaik-baik amalan.

No comments:

Post a Comment