Monday 6 June 2016

Ambang ramadhan, menyambut hari ulang tahun kelahiran & kesyukuran

Assalamualaikum wbt dan ramadhan kareem!

Semalam tanggal 05 Jun 2016, memeta sejarahnya yang tersendiri apabila kami sanak saudara yang terdiri daripada keluarga mak, maksu, pakcik, pakngah berkumpul di rumah wan untuk menyambut ramadhan yang penuh kemuliaan secara bersama sekaligus memercikkan suasana ukhuwah sesama saudara di rumah wan.

Biasanya kalau di sebelah selatan, sambutan ramadhan lebih dikenali sebagai 'mantai' dimana seluruh sanak saudara akan membuat persiapan memasak, menyiapkan makanan dan secara tidak langsung akan mengeratkan tali silatulrahim. Di sebelah utara pula, perkataan 'mantai' tidak disebut namun ianya terpulang kepada keluarga sama ada untuk menyambutnya atau tidak. Bagi kami, tahun ini kami meraikannya. Kami merasakan budaya yang baik boleh saja diamalkan dan dibudayakan. Tidak ada salahnya. Aktiviti semalam lebih kepada masak memasak daging kambing masak dalca, ikan keli masak sambal, ayam goreng kunyit, sambal belacan, sayur campur dan air oren. Sambutan ini diadakan juga adalah untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah kerana kesihatan wan semakin pulih serta bersyukur masih diberi Allah swt kesempatan untuk bertemu lagi dengan ramadhan pada tahun ini.

Dalam kesibukkan menyiapkan makanan dan juga masa senggang bersama pakcik dan maksu, rumah wan terus menerus menerima kunjungan daripada tetamu yang hadir untuk menziarahi wan di rumah. Melayan tetamu yang jauh dan dekat dari tengahari hinggalah ke lewat senja. Malamnya, keluarga kami turut menyambut ulang tahun kelahiran mak. Walaupun ulang tahun kelahiran berkenaan akan tiba 2 hari lagi, namun sengaja diawalkan kerana mengambil kesempatan semua sanak saudara telah berkumpul. Selamat ulang tahun kelahiran mak! moga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt hendaknya.

Jam 9.00 malam, kami semuanya mula berangkat pulang ke rumah masing-masing sebab hari ini kerja bermula. 1 ramadhan telahpun bermula dan mudah-mudahan di bulan yang penuh dengan barakah ini akan turut melimpahi kepada kita. Marilah kita merebut peluang keemasan ini untuk menggandakan pahala dan saham akhirat kita hendaknya. Semoga ibadah kita diterima oleh Allah swt, insya Allah.

Wednesday 1 June 2016

Kenduri Aqiqah, Tahlil arwah & kesyukuran serta menyambut ramadhan

Assalamualaikum dan selamat petang!

Syukur kehadrat Allah swt kerana segala perancangan untuk melangsung majlis kenduri aqiqah, tahlil dan kesyukuran serta menyambut ramadhan telah selasai diadakan pada 29 Mei 2016 di kediaman keluarga kami, Selama Perak. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar walaupun pada awal paginya hujan turun dan mendung turut sikit sebanyak mencemaskan perasaan kami sekeluarga namun akhirnya cuaca kembali cerah dan menyebabkan kehadiran tetamu ke majlis ini adalah sepertimana yang dirancang.

Bermula dari hari sabtu lagi, kesibukkan bermula apabila kaum keluarga yang sampai ke rumah untuk membuat persiapan majlis. Pagi sabtu, sembelihan arnab dimulakan. Sebanyak 20 ekor telah disembelih dengan pisau sembelihan yangdi'order' khas dari kota belud sabah. Dah sembelih kena lapah dan kerja-kerja proses seterusnya telah memakan masa hingga ke jam 3 petang apabila ianya bermula pada jam 11 pagi. Mujurlah Pakngah aku sampai, boleh bantu untuk percepatkan proses arnab. Jam 4 petang pula, aku bergegas bersama pakcik ke tempat sembelihan kambing untuk tujuan aqiqah pula di Selama, Kedah. Alhamdulillah proses disana berjalan lancar. Besar jugak kambingnya dan cukup umur. Kambing seberat 34 kilogram dengan harga RM 24/kg.

Ucapan terima kasih dipanjangkan juga kepada semua yang membantu dalam menjayakan majlis ringkas ini. Mudah-mudahan semuanya akan mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah s.w.t. Wallahu allam.