Friday, 26 June 2015

Landskap politik tanah air pasca muktamar

Jika dilihat dengan sekali pandang dan tidak perlu pun untuk mendalami kajian mengenai ilmu politik, ianya merupakan sesuatu yang tidak dijangka, tidak dapat dipelajari dimana-mana universiti terbaik dunia, malah tidak dipunyai oleh guru politik yang termasyhur abad ini! Sebaliknya, ilmu politik berkisar mengenai sejauhmana kepintaran seseorang itu dalam mempengaruhi orang lain untuk menjayakan aspirasinya dan matlamat dirinya. Walaupun kita juga tahu bahawa terdapat bidang sains politik yang diajar di universiti tempatan mahupun luar negara, namun kita akan dapati juga sebilangan besar ahli-ahli politik tanah air tidak mempunyai latar belakang pendidikan dari sains politik!

Bahkan nama-nama besar tokoh politik tanah air juga datangnya daripada bukan aliran sains politik formal. Misalnya, Tun M, Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, Lim Kit Siang, Karpal Sing, Tengku Razaleigh, Tun Daim Zainuddin, dan ramai lagi nama-nama yang boleh disenaraikan di sini yang dilihat mereka mempunyai aura tersendiri dan mengemudi dan mengharungi dunia politik tanpa berasaskan pendidikan politik yang formal dipelajari dari mana-mana institusi pengajian. Persoalannya, bagaimana tokoh-tokoh ini dan tokoh-tokoh lain juga boleh 'survive' dalam politik? Jawapannya, mereka mempunyai ILMU POLITIK dan ketajaman pemikiran dalam dunia politik!

Dalam entri kali ini, aku nak tulis mengenai landskap politik selepas pasca muktamar. Ini semua pandangan peribadi aku sahaja yang sehingga kini masih tidak menganggotai mana-mana parti politik;

Isu putus hubungan Pas dengan DAP

  1. Sebaik saja DUPP mengambil keputusan untuk mengemukakan usul memutuskan hubungan dengan DAP dan usul berkenaan diterima oleh muktamar, secara langsung ianya memperlihatkan bagaimana tindakan-tindakan yang dibuat oleh DAP dan juga sebahagian ahli pas yang lain untuk bertindak menerusi keputusan berkenaan. Walaupun pro-ulama menyatakan bahawa ianya bukan keputusan pas kerana menunggu keputusan yang bakal diputuskan oleh majlis syura, namun kalangan ahli pas juga ada sebahagianya yang turut bersetuju dan menyatakan bahawa hubungan dengan dap sebenarnya telah terputus. Kenyataan ini datangnya daripada kumpulan G18 (mereka yang tewas dalam pemilihan kali ini - progresif)
  2. Maka seolah-olah parti pas yang sebelum ini dilihat sebagai sebuah parti yang sedikit berbeza dengan parti-parti lain dimana penyatuan serta ukhuwah mereka sangat tinggi walaupun berhadapan pemilihan parti seperti sebelum-sebelumnya dan sangat wala' kepada pemimpin, kini dilihat sudah seakan sama dengan parti-parti lain apabila wujudnya perpecahan yang sangat ketara selepas muktamar dan dilihat kumpulan progresif sudah mengadakan roadshow di seluruh negara untuk memberi penerangan dan ceramah bahkan di satu sidang media, salah seorang pemimpin pas ini telah menyatakan tidak menolak kemungkinan wujudnya parti baru yang akan bekerjasama dengan PR.
  3. Jika perpecahan ini wujud dalam parti umno, tidaklah menghairankan dunia, kerana sememangnya umno mempunyai semangat perpecahan apabila wujudnya persaingan setiap kali pemilihan. umno akan berpecah bila setiap kali berlakunya pertembungan.
Kritikan dan penerimaan dengan hati terbuka

  1. Timbullah kononnya kumpulan progresif dilabel dengan pelbagai label seperti jebon, barua, brooker dan sebagainya. Sedangkan pula kumpulan progresif pula menyatakan bahawa kritikan terhadap presiden merupakan pas mengamalkan demokrasi terbuka iaitu ahli boleh mengkritik demi kebaikan kepada presiden untuk parti yang dicintai. Namun, sebaik sahaja kumpulan ini tewas dalam pemilihan didapati alunan ceramah mereka terus menerus menghentam dan saling tidak mencintai parti mereka lagi apabila menyatakan secara terbuka untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam parti untuk mengukuhkan parti. Sebaliknya, ingin melihat sejauh mana pas mampu bergerak dengan kepimpinan baru. Apakah mereka sebenarnya hanya bersetuju apabila mereka menang sahaja dan tidak menerima hakikat keputusan muktamar?
Roh melayu vs roh islam

  1. Hakikatnya, selepas muktamar pas ke-61, didapati keretakan PR semakin jelas dan sudah disahkan oleh salah sebuah parti komponen mereka bahawa PR sudah berkubur dan tidak wujud lagi. Maka segala kelemahan dan kekucaran dalam PR selama ini semuanya dipindahkan kepada keputusan muktamar pas baru-baru ini dan disumbangkan oleh parti berkenaan. Bukan sahaja parti lain menuding jari namun, dikalangan sebahagian ahli parti pas sendiri turut melemparkan tuduhan berkenaan. Kemungkinannya ada disumbangkan oleh keputusan berkenaan, namun ianya juga turut disumbang oleh dap dan pkr sendiri dalam pelbagai isu-isu sebelum ini.
  2. Sesuatu yang harus difahami oleh masyarakat khususnya orang melayu bahawa roh melayu atau jiwa melayu sememangnya terjajah. Cuba kita lihat contoh dekat dalam kehidupan harian, seorang melayu akan mempertahankan majikannya yang seorang bukan melayu daripada demontrasi orang-orang melayu kerana mereka akan mengangkat sesiapa sahaja yang menjadi tuan mereka dan ditambah pula dengan sifat hormat dan sopan melayu memungkinkan hal ini. 
  3. jika diimbau sejarah lampau, di tanah melayu ini, sesiapa yang datang menjajah orang-orang melayu maka mereka akan disanjung dijaga. kedatangan british, sokong british, belanda, skong belanda, jepun datang jajah ada melayu sokong dan demikianlah sokongan ini. Namun jika diambil roh islam, sesungguhnya islam tidak begitu. Kalau kita imbau sejarah lampau, islam pernah menakluk parsi, rom dan 3/4 dunia dengan kekuatan dan keberanian merentasi bangsa.
Kesimpulannya, landskap politik ini sangat dinamik dan akan terus menerus berubah setiap detik dan waktu. Walaupun keputusan pas baru-baru ini dalam muktamarnya dilihat seolah berpatah balik kebelakang, dan memberi nafas baru kepada umno/bn dalam terus memerintah negara, dilihat seakan kenyataan ini seakan lemah kerana umno/bn sendiri kini sedang dilanda masalah dalaman parti yang membelenggu parti berkenaan. Peluang untuk BN atau PR memenangi pilihanraya akan datang kini 50-50 kerana keduanya sedang cuba menangani masalah parti masing-masing sekaligus meranapkan harapan rakyat Malaysia sebelum ini untuk menggantikan UMNO/Bn dengan PR.  Dalam pertarungan ini, kedua-dua ini perlu segera kembali menambat hati pengundi sebelum pilihanraya bagi memenangi hati pengundi khususnya golongan muda. Kepada mereka yang taksub kepada sesuatu parti, aku syorkan supaya kamo semua mulai hari ini berentilah daripada taksub tu kerana politik ini hanyalah sesuatu yang dinamik dan sepatutnya pengundi yang rasional adalah akan mengundi dan menyokong kepada parti mana yang diyakini boleh memimpin dan membawa kemajuan serta menjaga rakyat! dan bukannya taksub atau ekstrem sehinggakan apa saja parti mereka lakukan walaupun ternyata salah tetap nak ditegakkan!

wasalam.