Monday, 2 February 2015

Hak organisasi yang sering dipinggirkan

Kita sering mendengar di sana-sini sama ada didada-dada akhbar, majalah HR, komentar, rencana dan media sosial serta dikebanyakkan perbincangan tentang organisasi, majoriti yang disentuh adalah berkaitan pekerja, keutamaan pekerja, pekerja berkualiti, hak pekerja dan sebagainya. Jarang sekali kita dengar dan baca mengenai hak organisasi. Pada aku, yang juga kerja makan gaji sememangnya aku mahukan hak aku dan juga memperjuangkan hak selaku pekerja diutamakan. Dalam banyak hal, kita seringkali membincangkan topik tentang tanggungjawab majikan terhadap pekerjanya dan kita seringkali juga membaca dan amat bersetuju tindakan-tindakan 'gila' bos yang mewakili majikan organisasi kita terhadap pekerja sepatutnya dikenakan hukuman setimpal.

Pun begitu, tidaklah ramai yang membicarakan tentang hak organisasi. Kita lebih gemar membicarakan dan mengupas tentang tindakan memaki atau menjatuhkan maruah kakitangan dikhalayak merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan sebolehnya mahukan majikan terbabit dikenakan tindakan berat dan cepat. Jarang sekali kita menganalisis tentang sebab dan mengapa ianya terjadi dan jauh sekali kita mengkaji untuk mengesan apakah punca kepada perkara ini. Kebanyakkan kita akan terus menyokong pekerja dan menyentuh tentang soal kemanusiaan yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya pekerja diperlakukan begitu oleh majikannya.

Hari ini aku nak sentuh sikit mengenai hak organisasi dan majikan yang mewakili organisasi. Sebagai contoh, di sebuah organisasi seorang pengurus bahagian pengangkutan telah membuat permohonan supaya 1 buah lori berkapasiti 5 mt diselenggara bagi menghadapi persiapan musim tuaian padi. Alasan penyelenggaraan berkenaan untuk memudahkan kerja-kerja mengangkut padi dan dapat menjana pendapatan kepada bahagian pengangkutan. Kos terbabit adalah sebanyak RM 5k. Sebaik saja lori selesai diselenggara dan Pengurus Besar memberi kelulusan peruntukkan, lori berkenaan tidak bekerja untuk mengangkut padi sepertimana yang dinyatakan oleh pengurus bahagian sebelum ini. Apabila ditanya, pengurus bahagian berkenaan mula memberi alasan tentang ketiadaan pemandu lori dan kini usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan pemandu. Setelah 1 minggu berlalu, pengurus besar kembali bertanyakan kepada pengurus bahagian tentang mengapa lori berkenaan masih belum memberi sebarang pendapatan sedangkan penyelenggaraan telah dilakukan dan pemandu lori telah diperolehi? sekali lagi alasan dikemukakan ialah roadtax lori telah tamat tempoh! maka sebagai penyelesaian, pengurus besar minta supaya pengurus bahagian renew segera roadtax dan setelah roadtax diperbaharui lori berkenaan masih lagi tidak berfungsi dan apabila tnya soalan sama, pengurus bahagian berkenaan menyatakan bahawa tayar lori mengalami masalah yang memerlukan ianya diganti sebagai syarat untuk membolehkan lori berjalan. Apabila tayar ditukar, lori masih lagi tidak berjalan, dan kali ini pengurus bahagian memberi alasan sekali lagi tentang ketiadaan penyangkuk untuk menutup bahagian belakang lori pula yang menyumbang kepada masalah! sehinggalah kepada kemuncaknya, apabila ditekan bertubi-tubi, kali terakhir alasan yang dikemukakan adalah tentang bateri lori pulak weak dan perlu ganti. Kemuncak kesabaran pengurus besar dalam soal ini sudah tidak boleh dibendung lagi sehinggalah pengurus besar berkenaan bertempik dan menyatakan beliau tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan melainkan mahu melihat lori berkenaan menjalankan kerjanya keesokkan hari atau pengurus bahagian terbabit akan dikenakan tindakan tegas!

Baru lah lori berkenaan mula melaksanakan kerja-kerja pengangkutan pada keesokan harinya tanpa sebarang masalah yang ditimbulkan lagi. Apa kesimpulannya di sini? dapatlah kita fahami bahawa sebenarnya tidak ada lain alasan melainkan pekerja itu sendiri yang mencipta alasan demi alasan bagi membolehkan beliau tidak dibebani kerja atau tugasan yang lebih! Apabila pengurus besar bertindak secara terbuka maka pekerja atau sesiapa jua yang hanya faham pada ketika lentingan pengurus besar berkenaan akan mula membenci pengurus besar dan menyatakan bahawa tindakannya adalah tidak patut dan hanya menampakkan sifat diktator. Tidak ada yang mula mengkaji mengapa dan kenapa tindakan pengurus besar berkenaan sedemikian. Banyak lagi kes-kes yang lain yang menunjukkan sikap pekerja itu sendiri yang banyak mengundang kesan buruk terhadap dirinya sendiri tetapi cuba dialihkan perhatian itu dalam konteks simpati dan cuba menyalahkan organisasi dan majikan. Oleh kerana, organisasi tidak ada sebarang pembelaan maka selamanya organisasi dan majikan akan dipersalahkan dan diagungkan pula adalah pekerja!

Tidak ada yang bercakap atau mahu mempersoalkan tentang masalah disiplin pekerja yang sering datang lewat ke pejabat. Tetapi sebaik saja tindakan seperti show cause letter diberikan, maka mulalah pekerja terbabit mengungkit kononnya bakti yang dicurahkan selama ini tidak diambil kira oleh organisasi, cacian dan makian mula dihamburkan kepada majikan dan organisasi yang memperlihatkan beliau seolah-olah sedang diainaya. Sudah tentu keadaan ini tidak adil kepada organisasi. Secara tidak langsung hak organisasi dipinggirkan sama sekali. Dalam kalam yang akhir, saya mengajak diri saya dan kalian agar bermuhasabah diri dalam keadaan kita mahukan hak kita diperjuangkan jangan kita lupa organisasi juga perlu diberi hak sebaiknya dengan adil. Marilah kita mencari pemuafakatan dalam berorganisasi supaya mewujudkan keharmonian dalam berorganisasi. Insya Allah.

Wallahua'lam.