Friday 7 September 2012

Berurusan dengan hikmah dan berhemah

Saya mulakan entri kali ini dengan merasakan sedikit kekok apabila agak sekian lama juga tidak meng’update’ sebarang entri baru di ruangan ini memandangkan kekangan waktu dan kesibukkan menjalani tugas harian disamping perkara-perkara lain yang menuntut supaya saya memberi perhatian terhadapnya.
Jadi dikesempatan yang terluang seperti ini, saya luangkan sedikit masa yang terhad amat ini untuk menulis dan berkongsi bersama anda wahai pembaca yang sudi meluangkan masa anda untuk membaca di ruangan ini. Saya ingin menulis mengenai pengalaman yang sedikit cuma apabila berpeluang berkhidmat di salah sebuah organisasi yang menghubungkan saya terus dengan masyarakat kampung yang sangat berharga dan saya percaya tak semua orang berpeluang untuk menikmati pengalaman ini dan pastinya pengalaman ini ‘mahal’ harganya jika mahu ditukar dalam bentuk nilai wang ringgit. Banyak perkara baru yang saya lalui dan temui hampir setiap hari. Namun, dalam banyak soal, ingin saya sentuh mengenai pengurusan kredit.
Sejak mengambil alih tampuk pengurusan, saya mula meneliti dengan penuh tekun satu persatu setiap pergerakkan kewangan, perniagaan, pentadbiran, aliran tunai,projek pembangunan, pembangunan usahawan,kredit & simpanan, penyusunan pemantapan ahli, program-program berbentuk sosial dan pengaktifan unit dan sebagainya. Apabila menyentuh soal kredit dan pembangunan usahawan, saya mula memberi penekanan yang meneliti. Sebaik sahaja meneliti laporan kewangan bulanan, saya menyemak kepada perkara hutang usahawan. Apabila saya dapati bahawa bayaran kutipan hutang usahawan dilihat sangat lemah dan tidak dibayar oleh sebahagian besar usahawan yang berhutang dengan organisasi. Apa yang memeranjatkan saya, angka berkenaan adalah besar nilainya iaitu setengah juta lebih!
Dan apabila mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkenaan, mereka memberikan jawapan steorotaip bahawa memang sifat usahawan untuk tidak mahu membayar. Ada kewajarannya daripada jawapan berkenaan. Tidak dinafikan, bahawa setiap usahawan seakan-akan mahu mengelakkan daripada membayar hutang. Pada pandangan mereka, mereka tidak berhutang dengan bank yang jika mereka gagal membayarnya maka mereka akan berhadapan dengan tindakan mahkamah dan sebagainya. Kini mereka meminjam daripada sebuah organisasi lain daripada institusi perbankan. Jadi tidak perlu gusar pasal kegagalan membayar balik hutang mereka itu. Ada juga jawapan daripada pegawai bahawa ada diantara usahawa-usahawan yang meminjam ini projek mereka telahpun menemui kegagalan dan akibat dari itu maka usahawan seolah-olah menjadikan alasan supaya tidak perlu membayar hutang mereka.

Namun, ,memandangkan saya bukanlah orang yang selalu cepat berpuashati dengan jawapan berkenaan, maka saya ingin mendalami apakah sebabnya usahawan yang berhutang ini gagal membayar balik pinjaman mereka. Akhirnya, saya mendapati bahawa kelemahan di pihak organisasi adalah antara faktor penyebab kepada kegagalan untuk mengutip balik bayaran hutang. Antaranya saya dapati bahawa jadual bayaran balik telah disediakan tetapi apabila setiap kali usahawan yang sepatutnya membuat bayaran bagi setiap bulan tetapi tidak buat bayaran maka tiada seorang pun pegawai bertanggungjawab untuk cuba menghubungi atau mengingatkan usahawan mengenai bayaran yang tertungguk mereka. Tidak ada sebarang notis tuntutan hutang pun pernah dikeluarkan sebagai usaha untuk mengutip bayaran. Apatah lagi terus berhubung dengan peminjam tentulah jawapannya tidak. Pemberian hutang kepada usahawan diberi hampir setiap tahun, tetapi kutipan balik bayaran hutang tidak dilakukan. Akibatnya, hutang usahawan kini telah melebihi 1/2juta lebih dan tidak berjaya dikutip balik. Saudara, jumlah setengah juta ini banyak nilainya. Dan tujuan pemberian kredit ini dilakukan adalah murni lengkap dengan penubuhan tabungnya yang tersendiri. Tujuan pemberian kredit dan bayaran balik ini adalah untuk setiap peminjam yang berjaya diluluskan, hendaklah membuat bayaran semula dan dimasukkan bayaran berkenaan ke dalam tabung usahawan semula dengan harapan tabung ini mempunyai tabung. Dan dengan tabung ini dapatlah memberi pinjaman semula kepada para usahawan baru yang mahu meminjam seterusnya. Apa yang menyedihkan, bayaran tidak dilakukan dan tiada kutipan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka akhirnya program murni ini dilihat agak kurang memberi impak kepada usahawan seluruhnya akibat daripada tindakan usahawan peminjam yang sebelum ini.

Saya mengambil alih kepimpinan sejak tahun lepas dan sehingga kini. Saya merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi kutipan balik bayaran hutang ini. Saya berpendapat bahawa sekiranya nilai setengah juta ringgit ini berjaya dikutip balik dan masuk ke dalam tabung ini, nescaya manfaat yang lebih besar mampu dijana dan diberi kepada para usahawan. Justeru, saya telah mengarahkan pegawai yang bertanggungjawab untuk segera menyemak semula berapa ramai keseluruhannya bilangan usahawan yang meminjam sejak organisasi ini ditubuhkan. Langkah seterusnya adalah menyemak semula dokumen berkaitan pinjaman termasuk perjanjian. Daripada perjanjian kita boleh mengambil tindakan undang-undang yang telah diperuntukkan termasuk mengheret peminjam ke Timbang Tara bagi diadili. Selebihnya, pendekatan secara hikmah iaitu berdiplomasi dan berunding serta mengambil jalan menang-menang yang mana tidak menyusahkan peminjam dan tidak pula membiarkan hutang mereka bertapuk tanpa sebarang penyelesaian.

Alhamdulillah, saya kini dapat melihat pergerakkan yang positif kepada kutipan balik bayaran pinjaman usahawan. Antara pendekatan yang digunakan ialah kepada usahawan yang susah nak buat bayaran, kita memanggil mereka ini ke pejabat dan berbincang. Setiap satu kes melalui proses perbincangan,tarbiyah dan sentuhan kalbu memakan masa melebih hampir setengah jam lebih. Dan akhirnya kepada mereka yang mampu telah membuat bayaran. Kepada yang kurang mampu, kami cuba membantu dengan membeli semula produk mereka tetapi menolak hutang mereka secara kontra. Keputusan ini disenangi oleh para usahawan. Ada yang saya jumpa sendiri menyatakan bahawa mereka sangkakan pinjaman ini tidak perlu bayar kerana sebelum ini pejabat tidak pernah membuat tuntutan. Hasil daripada ini, saya insaf dan sedarlah saya bahawa pendekatan baru dan lebih proaktif perlu dilakukan untuk usaha mengutip balik kutipan hutang selama ini.

Buat anda pembaca yang membaca di sini, sy berharap agar saudara/i mendoakan usaha murni ini untuk kebaikan para usahawan yang membuat pinjaman dan juga akan datang. Wallahualam.