Monday 6 June 2016

Ambang ramadhan, menyambut hari ulang tahun kelahiran & kesyukuran

Assalamualaikum wbt dan ramadhan kareem!

Semalam tanggal 05 Jun 2016, memeta sejarahnya yang tersendiri apabila kami sanak saudara yang terdiri daripada keluarga mak, maksu, pakcik, pakngah berkumpul di rumah wan untuk menyambut ramadhan yang penuh kemuliaan secara bersama sekaligus memercikkan suasana ukhuwah sesama saudara di rumah wan.

Biasanya kalau di sebelah selatan, sambutan ramadhan lebih dikenali sebagai 'mantai' dimana seluruh sanak saudara akan membuat persiapan memasak, menyiapkan makanan dan secara tidak langsung akan mengeratkan tali silatulrahim. Di sebelah utara pula, perkataan 'mantai' tidak disebut namun ianya terpulang kepada keluarga sama ada untuk menyambutnya atau tidak. Bagi kami, tahun ini kami meraikannya. Kami merasakan budaya yang baik boleh saja diamalkan dan dibudayakan. Tidak ada salahnya. Aktiviti semalam lebih kepada masak memasak daging kambing masak dalca, ikan keli masak sambal, ayam goreng kunyit, sambal belacan, sayur campur dan air oren. Sambutan ini diadakan juga adalah untuk menzahirkan kesyukuran kehadrat Allah kerana kesihatan wan semakin pulih serta bersyukur masih diberi Allah swt kesempatan untuk bertemu lagi dengan ramadhan pada tahun ini.

Dalam kesibukkan menyiapkan makanan dan juga masa senggang bersama pakcik dan maksu, rumah wan terus menerus menerima kunjungan daripada tetamu yang hadir untuk menziarahi wan di rumah. Melayan tetamu yang jauh dan dekat dari tengahari hinggalah ke lewat senja. Malamnya, keluarga kami turut menyambut ulang tahun kelahiran mak. Walaupun ulang tahun kelahiran berkenaan akan tiba 2 hari lagi, namun sengaja diawalkan kerana mengambil kesempatan semua sanak saudara telah berkumpul. Selamat ulang tahun kelahiran mak! moga sentiasa diberkati dan dirahmati Allah swt hendaknya.

Jam 9.00 malam, kami semuanya mula berangkat pulang ke rumah masing-masing sebab hari ini kerja bermula. 1 ramadhan telahpun bermula dan mudah-mudahan di bulan yang penuh dengan barakah ini akan turut melimpahi kepada kita. Marilah kita merebut peluang keemasan ini untuk menggandakan pahala dan saham akhirat kita hendaknya. Semoga ibadah kita diterima oleh Allah swt, insya Allah.

No comments:

Post a Comment